
KOTA KINABALU – Prosiding inkues kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir, mendedahkan dakwaan wujudnya budaya asrama yang menganggap teguran atau herdikan keras daripada pelajar senior terhadap junior sebagai ‘pengalaman biasa’ yang perlu dilalui.
Peguam kepada ibu Zara, Shahlan Jufri berkata, saksi kanak-kanak kelima, yang telah memberi keterangan minggu lalu, menjelaskan bahawa menjadi kebiasaan bagi pelajar senior di asrama untuk menegur atau memarahi junior dengan cara yang keras.
Menurutnya, amalan ini dianggap sebagai ‘pengalaman biasa’ yang perlu dilalui oleh pelajar junior, kerana pelajar senior sebelum ini juga pernah mengalaminya.
“Saksi ini merupakan rakan rapat kumpulan pelajar yang dikenali sebagai ‘Circle-19’, iaitu sekumpulan 19 pelajar yang sering menjalankan aktiviti bersama.
“Beliau juga mengesahkan bahawa kata-kata kasar seperti ‘bodoh’ dan ‘sial’ pernah digunakan oleh salah seorang ahli kumpulan terhadap Zara, namun ia berlaku dalam kalangan kawan-kawan sahaja,” katanya berdasarkan keterangan saksi kelima inkues Zara Qairina di Mahkamah Koroner, di sini pada Isnin.
Inkues kematian pelajar asrama, Zara Qairina Mahathir, memasuki hari ke-16 dengan keterangan daripada dua saksi iaitu deponen ke-13 dan ke-14, yang merupakan saksi kanak-kanak kelima dan keenam dalam prosiding ini.
Dalam pada itu, Shahlan berkata, saksi turut mengambil inisiatif mengenal pasti guru yang telah merampas telefon bimbit seorang pelajar pada pagi kejadian bertarikh 16 Julai 2025.
Jelas saksi itu, pelajar yang dirampas telefonnya merupakan ahli dorm Zara dan tindakan rampasan itu dilakukan kerana penggunaan telefon tidak dibenarkan di asrama.
“Saksi juga menyatakan bahawa Zara adalah seorang pelajar yang ceria, ramah dan tidak menunjukkan sebarang tanda mengalami tekanan emosi atau masalah mental sebelum kejadian,” katanya.
Sementara itu, menurut saksi kanak-kanak keenam (deponen ke-14) memberi keterangan bahawa pada sekitar pukul 10.20 malam, Zara masuk ke dorm untuk bertemu dengan seorang pelajar senior yang merupakan penghuni dorm tersebut.
“Saksi memberitahu mahkamah bahawa Zara dipanggil ke dorm itu atas dua laporan kes kecurian kehilangan dompet.
“Walaupun saksi tidak dapat mendengar secara jelas perbualan berkaitan isu kecurian itu, dia mengesahkan bahawa beberapa ketika kemudian, empat pelajar senior masuk ke dorm dan terdapat suara kuat seperti sedang memarahi Zara.
“Namun, saksi tidak dapat mengenal pasti siapa yang memarahi Zara pada ketika itu dan hanya mengetahui identiti pelajar senior tersebut keesokan harinya melalui perbualan dengan rakan-rakan di musollah,” katanya.
Shahlan berkata, menurut saksi budaya memaki hamun memang wujud di asrama tersebut, namun lazimnya hanya berlaku dalam kalangan rakan-rakan.
Tambahnya, kira-kira pukul 11 malam sebelum lampu ditutup, dia melihat Zara keluar dari dorm dalam keadaan menangis.
“Saksi melihat Zara menangis dan juga kali terakhir beliau melihatnya pada malam kejadian,” katanya.
Saksi turut memaklumkan bahawa dia telah menyerahkan sepucuk surat privasi milik Zara ke dorm Zara.
“Surat tersebut diterima oleh seorang pelajar lain yang pernah memberi keterangan dalam kes ini dan pelajar itu membaca surat berkenaan sejurus menerimanya.
“Apabila ditanya oleh pihak berkepentingan, sama ada beliau mengetahui tentang punca Zara ditemukan di bawah bangunan, saksi menyatakan bahawa dia merasakan sebabnya Zara dituduh mencuri pada malam 15 Julai 2025,” katanya.
Shahlan turut memberitahu bahawa pasukan guamannya mengemukakan pelan lakar 3D dan 2D (3D and 2D sketch layout plan) kepada semua pihak dalam Mahkamah Koroner.
Jelasnya, pelan ini tidak mengikut skala sebenar dan menggunakan bahan bukti gambar serta maklumat sedia ada untuk memberikan gambar visual bilik dorm keseluruhan aras 3, Blok Asrama Rabiatul Adawiyah, sekolah tersebut.
“Pelan ini disediakan untuk membantu saksi kanak-kanak sebagai rujukan serta membolehkan pihak mahkamah mengenal pasti lokasi para pelajar semasa waktu material kejadian,” ujarnya.
Sebagai rekod, Mahkamah Koroner tidak akan bersidang pada 1 hingga 6 Oktober dan akan bersidang semula pada 7 Oktober 2025.



