
MUKAH – Penduduk Kampung Penat dan kawasan sekitar Oya berpeluang mendapatkan perkhidmatan saringan kesihatan secara percuma menerusi Program Santuni MADANI yang dijadualkan berlangsung di Dewan Kampung Penat pada 20 November ini.
Program anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Pejabat Timbalan Menteri Kesihatan itu turut menyediakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan bagi meningkatkan kesedaran kesihatan serta memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dengan penduduk luar bandar.
Menurut maklumat Unit Promosi Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak, penganjuran program berkenaan telah digerakkan secara berperingkat sejak Oktober lalu dengan tumpuan kepada aspek kesihatan, kesejahteraan komuniti dan keselamatan persekitaran.
Antara pengisian awal ialah Inisiatif 3C: Cakna, Cegah, Cergas yang dijadualkan berlangsung pada 16 November, termasuk program jangkauan kesihatan paru-paru berkaitan penyakit tibi serta sesi konsultasi kesihatan.
Kemuncak Program Santuni MADANI pada 20 November pula dijadualkan dirasmikan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib.
Selain saringan kesihatan percuma, penduduk turut berpeluang mendapatkan maklumat secara langsung melalui pameran interaktif yang disediakan pelbagai agensi kerajaan.
Aspek kebersihan dan kelestarian alam sekitar juga diberikan perhatian menerusi aktiviti Penat Kampung Aktif: Jom Bersihkan Kampung dan Pantai Kita yang menggalakkan penglibatan masyarakat dalam menjaga persekitaran tempat tinggal.
Program itu turut dijadualkan menyaksikan penyerahan simbolik bagi inisiatif Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Dua Sungai.
Antara aktiviti lain ialah tayangan montaj khas, penyampaian hadiah pertandingan sukaneka rakyat serta cabutan bertuah untuk pengunjung.
Penganjuran program berkenaan bertujuan memperluas akses penduduk luar bandar kepada perkhidmatan kerajaan, khususnya dalam aspek penjagaan kesihatan dan kesejahteraan komuniti.
Sehubungan itu, penduduk Kampung Penat dan kawasan sekitarnya dijemput hadir bagi memanfaatkan perkhidmatan percuma serta menyertai aktiviti yang disediakan sepanjang program berlangsung.
Maklumat lanjut mengenai program boleh diperoleh melalui saluran media sosial rasmi JKN Sarawak atau Pejabat Kesihatan Bahagian Mukah.


