
ROMBAKAN Kabinet lebih wajar dilaksanakan berbanding membubarkan Parlimen, kata bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Beliau mengulas cadangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid yang didakwa mungkin bimbang kedudukannya sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terjejas sekiranya rombakan Kabinet dilakukan.
“Merombak kabinet wajar kerana PRU (pilihan raya umum) lambat lagi. BN (Barisan Nasional) nampak berpatah arang kerana buat manifesto dengan Pas di PRN (pilihan raya negeri) Melaka.
“PH dilihat tidak bermaruah jika tidak bertindak balas demi menjaga konsep “collective responsibility”. Kerajaan Perpaduan sudah tercemar baik dari segi nama atau imej jika tiada hukuman diambil,” katanya di Facebook pada Rabu.

Mengulas lanjut, Puad turut membangkitkan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah memecat semua menteri dan timbalan menteri yang menyokong kumpulan Team B pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah pada 1987.
Katanya, tindakan tegas perlu dipertimbangkan dan sudah tiba masanya pendekatan politik yang terlalu bertolak ansur diketepikan.
“Politik segan silu sudah berakhir.
“Kita tunggu, jika portfolio menteri BN kena tukar, apakah mereka berani letak jawatan?” soalnya.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada polemik hubungan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan susulan cadangan pembubaran Parlimen dan perkembangan kerjasama politik BN-Pas di Melaka.



