
KLUANG – Kerajaan Negeri mensasarkan pembinaan 80,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menjelang tahun 2029 sebagai alternatif memastikan rakyat di negeri ini memiliki kediaman sendiri.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, daripada jumlah tersebut, lebih 30,000 unit RMMJ kini telah siap dibina dan ada yang masih dalam fasa pembinaan selepas projek bermula pada tahun 2022.
“Secara keseluruhannya, sebanyak 16,845 unit RMMJ telah siap dibina dengan penambahan 14,000 unit lagi dijangka siap menjelang 2027.
“Manakala baki 50,000 unit pula dijangka bermula pada tahun 2027 dengan sasaran siap sepenuhnya pada tahun 2029,” katanya pada Program J-Home OSC RMMJ Daerah Kluang, di Dewan Muafakat Simpang Renggam, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri; Datuk Jafni Md Shukor; Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), Datin Paduka Dr Hajah Suhailizan Suliman dan Pegawai Daerah Kluang, Azurawati Wahid.

Terdahulu, seramai 400 orang menerima Sijil Layak Menduduki Rumah (SLMR) bagi projek perumahan di daerah Kluang iaitu Taman Bukit Perdana Fasa 1 & 2, Taman Akasia Fasa 3A & 3B dan Taman Era 2, Simpang Renggam.
Onn Hafiz yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata, sasaran projek berkenaan turut disokong dengan pelaksanaan Program Johor Housing One Stop Center (J-Home OSC) oleh PKPJ yang berperanan penting memudahkan rakyat terutama golongan pendapatan rendah memohon dan memiliki RMMJ.
Katanya, atas inisiatif program J-Home OSC dengan kerjasama pemaju terlibat seperti Parkland Group, KCC Central Berhad dan Hektar Berlian Sdn.Bhd. berjaya membolehkan pemohon di Kluang khususnya Simpang Renggam memiliki rumah sendiri yang diimpikan.




