
AYER MOLEK – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mahu menggunakan baki kehidupannya untuk mendidik masyarakat Melayu dan Islam supaya mengamalkan nilai moral tinggi serta mengutamakan khidmat kepada rakyat.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, beliau tidak mahu menghiraukan pelbagai kritikan dan cemuhan, sebaliknya mahu terus berusaha membawa perubahan kepada negara.
“Saya datang nak saya teruskan. Setiap kali kamu maki apa pun, saya nak guna sisa hidup saya nak tunjuk ajar orang Melayu, orang Islam yang moral tinggi, yang berkhidmat untuk rakyat. Kita boleh ubah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Ngopi Santai di Warung Cikgu Jalal dan Cik Ida, di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Anwar berkata, golongan muda perlu diberi peluang dan sokongan untuk menggalas tanggungjawab kepemimpinan, termasuk menjadi wakil rakyat.
Beliau merujuk kepada Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari serta Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim sebagai antara pemimpin muda yang perlu dibantu dan dibimbing oleh pemimpin lebih berpengalaman.
“Jadi sebab itu orang muda-muda ini, Taufik ini, dia dipimpin orang ramai senior. Tiba-tiba nak kena tolongkan tokoh-tokoh muda kita untuk jadi wakil rakyat. Saya tahu Serkam ada orang besar. Tak apa, tolongkan orang-orang ini,” katanya.
Anwar turut mengakui masih terdapat kekurangan dalam pentadbiran kerajaan dan banyak perkara perlu diberikan perhatian, namun menegaskan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri menuntut beliau terus bekerja menyelesaikan masalah rakyat.
Katanya, pelbagai isu termasuk membabitkan pekerja dan anggota tentera turut dibincangkan bersama kementerian berkaitan.
Beliau berkata, peranan sebagai Perdana Menteri bukan sekadar menghadiri program politik atau berkempen, sebaliknya perlu memastikan urusan pentadbiran dan kebajikan rakyat diberikan perhatian.
Dalam ucapannya, Anwar turut mengingatkan golongan muda supaya tidak mudah menerima sesuatu perkara tanpa memahami fakta sebenar.
Beliau berkata, kerajaan tidak boleh menjanjikan segala-galanya kepada rakyat, sebaliknya akan berusaha sedaya upaya melaksanakan perkara yang membawa kebaikan.
“Insya-Allah saya tak mahu janji bulan dan bintang. Apa saya boleh janji, insya-Allah saya lakukan sedaya upaya kebaikan,” katanya.

