
AYER MOLEK – Semua anggota Jemaah Menteri dan parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan perlu memainkan peranan membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mentadbir negara, bukannya menjadi penghalang kepada usaha kerajaan.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu perlu menjadi pegangan semua pihak yang masih berada dalam Kerajaan Perpaduan demi memastikan pentadbiran negara terus mencapai kejayaan.
“Saya percaya bagi pihak kerajaan, secara umumnya kita lihat banyak kejayaan yang Perdana Menteri telah berjaya bawa bukan hanya dari segi reformasi institusi, kedudukan Parlimen yang sekarang lebih bebas berbanding dulu, dan juga tahap keyakinan termasuk daripada para pelabur terhadap kerajaan, terhadap negara kita.
“Ini beberapa faktor yang sangat positif,” katanya, selepas program jelajah mesra bersama calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, pada Khamis.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, selain status Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang menyatakan pendirian berhubung peletakan jawatan dalam Kabinet, Mesyuarat Majlis Presiden PH turut meneliti perkembangan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 yang disifatkan berjalan lancar.
Mesyuarat itu juga bersetuju mengaktifkan Majlis Setiausaha PH bagi menyelaraskan persiapan awal parti gabungan berkenaan dalam menghadapi PRN Sarawak.


