
AYER MOLEK – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan masyarakat supaya memilih pemimpin yang mempunyai akhlak baik dan jujur, bukannya berdasarkan kaum semata-mata, sambil menegur sikap individu berpengaruh yang menyalahgunakan kedudukan untuk mengaut kekayaan.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, masalah negara bukan berpunca daripada perbezaan kaum, sebaliknya sikap individu yang tidak amanah dan sanggup menyalahgunakan kuasa demi kepentingan sendiri.
“Cari Melayu yang baik, cari Melayu yang akhlaknya baik, cari Melayu yang jujur. Ramai yang ada. Bagilah jawatan orang Melayu yang baik.
“Masalah negeri kita bukan masalah India, bukan masalah Cina, tapi masalah Melayu. Masalah orang kuat, orang sakau. Saya tak peduli Cina ke India ke Melayu ke. Jangan. Ini negara amanah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Ngopi Santai di Warung Cikgu Jalal dan Cik Ida, di sini malam tadi.
Turut hadir ialah calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, Muhamad Hakimin Mokhtar dan calon PH bagi DUN Serkam, Muhammad Faiq Azman, yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2026.
Anwar turut mempersoalkan sikap pemimpin yang masih mahu mengumpul kekayaan walaupun sudah menikmati pelbagai kemudahan.
Pada masa sama, beliau mengingatkan rakyat supaya memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum.
“Di dalam kerja orang bagi hormat kepada Malaysia disebabkan bukan sebab negeri aman. Orang kerja rajin. Dia tak bergaduh. Ada Melayu, ada Cina, ada India, ada orang asli, ada Sabah Sarawak. Kita tak bergaduh,” katanya.

