
KANGAR – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya setiap jabatan dan agensi kerajaan memastikan segala perancangan pembangunan negeri diterjemahkan kepada tindakan serta hasil yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Baginda bertitah, pelaksanaan setiap tanggungjawab perlu berteraskan ketelusan dan integriti bagi memastikan matlamat pembangunan negeri dapat dicapai dengan berkesan.
Menurut baginda, Pelan Pembangunan Peneraju Perlis Progresif 2030 diharap menjadi panduan bersama dalam memperkukuh budaya kerja yang cekap, bersepadu dan berorientasikan penyampaian.
“Setiap jabatan dan agensi perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan penuh ketelusan dan integriti bagi memastikan setiap perancangan diterjemahkan kepada tindakan serta hasil yang memberi manfaat kepada negeri dan juga umat Perlis tersayang secara amnya,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian sempena Peluncuran Pelan Pembangunan Peneraju Perlis Progresif 2030 dan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Perlis di Elissa Garden, di sini, hari ini.
Tuanku Syed Faizuddin turut menekankan bahawa kemajuan sesebuah negeri tidak seharusnya diukur berdasarkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan fizikal semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira peningkatan taraf hidup serta peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat.
“Pastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus kemajuan ini demi membina sebuah negeri yang makmur, mampan dan berdaya tahan dalam menghadapi sebarang cabaran,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan harapan supaya pembangunan infrastruktur fizikal dan digital terus diperkukuh bagi memudahkan pergerakan rakyat, melancarkan aktiviti ekonomi serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
Baginda berharap jaringan perhubungan dan akses kepada kemudahan teknologi terus diperluas supaya seluruh rakyat termasuk masyarakat luar bandar dapat menikmati kemudahan dan peluang yang lebih baik.
Pada majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin berkenan merasmikan Pelan Pembangunan Peneraju Perlis Progresif 2030 sebagai panduan pembangunan negeri bagi tempoh mendatang.


