KOTA KINABALU – Gangguan bekalan air membabitkan beberapa unit dan blok kolej kediaman di kampus induk Universiti Malaysia Sabah (UMS) dipercayai berpunca daripada insiden kecurian air dari kejiranan Institut Pengajian Tinggi Awam tersebut.
UMS dalam kenyataan berkata, ganguan bekalan air itu juga susulan kadar kemasukan air ke Tangki R13 milik JANS terletak dalam kawasan universiti berada pada paras rendah iaitu purata sekitar paras satu daripada skala 10.
“Tangki R13 bukan sahaja membekalkan air kepada UMS, tetapi juga kepada beberapa bangunan dan kawasan luar kampus termasuk Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Pejabat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), Pejabat Persekutuan Putrajaya Cawangan Sabah, kawasan Alam Mesra, Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas serta kawasan perumahan sekitar,” kata kenyataan itu, pada Ahad.

UMS sedang mengambil langkah proaktif serta menyeluruh bagi memastikan kebajikan dan keperluan asas pelajar sentiasa terjaga sepanjang tempoh gangguan itu termasuk mengepam
tiga juta liter air ke tangki R13 sebaik bekalan air pulih.
“Ketika ini, bekalan air ke seluruh kampus bertambah baik setelah usaha-usaha pemotongan penyambungan paip secara tidak sah di sekitar perkampungan setinggan berdekatan kampus dilakukan.
“Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP) UMS akan terus menyelaras penyaluran air berdasarkan kadar bekalan semasa serta memanfaatkan sumber alternatif seperti tubewell,” jelas kenyataan itu.
Sehubungan itu, pihak pengurusan UMS memohon agar seluruh warga kampus sentiasa peka dengan makluman semasa dan melaporkan sebarang isu berkaitan kepada pihak universiti.
UMS turut menyatakan kerjasama rapatnya dengan JANS dan agensi berkaitan bagi mempercepat usaha pemulihan bekalan air secara menyeluruh.
“Pihak Universiti amat menghargai kesabaran dan kerjasama semua pelajar serta warga kampus dalam menghadapi situasi ini.
“Pelajar disaran menggunakan air secara berhemah, menjaga kebersihan diri dan sentiasa mengikut makluman rasmi yang disalurkan melalui aplikasi mudah alih UMS, laman media sosial rasmi universiti, serta saluran komunikasi kolej masing-masing.
“Sebarang pertanyaan lanjut atau permohonan bantuan, pelajar boleh menghubungi Pejabat Kolej Kediaman di talian 088-320060,” tambahnya.






