
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiktiraf antara 15 tokoh muslim paling berpengaruh di dunia apabila menduduki kedudukan ke-13 dalam senarai The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims edisi 2027.
Pengiktirafan itu diterbitkan menerusi edisi tahunan ke-18 oleh Royal Islamic Strategic Studies Centre (RISSC), sebuah institusi penyelidikan berpangkalan di Jordan.
Menurut laporan berkenaan, Anwar yang mula memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada November 2022, menerajui Kerajaan Perpaduan di bawah gabungan Pakatan Harapan (PH).
Laporan itu turut menonjolkan pendekatan beliau dalam memperkukuh ekonomi dan mempercepat peralihan digital negara menerusi gagasan Malaysia MADANI.
Antara bidang yang diberikan keutamaan termasuk kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, pusat data, pengkomputeran awan dan peralihan tenaga sebagai teras strategik pembangunan negara.
“Pada Jun 2026, Anwar mengetengahkan peralihan tenaga sebagai tonggak utama agenda pembangunan Malaysia, dengan menghubungkan keperluan tenaga masa depan negara secara langsung kepada perkembangan pesat sektor infrastruktur berteknologi tinggi,” menurut laporan itu.

Di peringkat antarabangsa, penerbitan berkenaan turut mengiktiraf peranan Anwar sebagai pengantara dalam usaha meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja susulan pertempuran di sempadan kedua-dua negara pada Julai 2025.
Selaku Perdana Menteri Malaysia dan Pengerusi ASEAN, beliau menjadi tuan rumah rundingan pemimpin kedua-dua negara di Putrajaya yang membantu mencapai persetujuan gencatan senjata.
Laporan itu menyifatkan usaha berkenaan sebagai antara faktor yang memperkukuh imej Malaysia sebagai perantara keamanan yang konstruktif di Asia Tenggara.
Selain itu, Anwar turut diiktiraf sebagai antara pemimpin dunia yang lantang memperjuangkan isu Palestin, khususnya dalam menuntut perlindungan orang awam dan akses bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Malah, laporan itu menyentuh pendirian tegas Malaysia di pentas antarabangsa, termasuk usaha menerajui gabungan teras antarabangsa bagi merangka resolusi untuk mengusir Israel daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pendirian Malaysia yang tidak mengiktiraf Israel turut ditegaskan sebagai dasar yang kekal.
Laporan berkenaan turut merakamkan pertemuan Anwar dengan pegawai Hamas, termasuk Allahyarham Ismail Haniyeh, yang mencetuskan bantahan terbuka beberapa negara Barat.
Bagaimanapun, Perdana Menteri menegaskan hak Malaysia sebagai negara berdaulat untuk menentukan dasar luarnya sendiri.

Dari sudut latar belakang, penerbitan itu turut mengetengahkan penglibatan awal Anwar dalam aktivisme Islam apabila mengasaskan dan menerajui Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada 1971.
Beliau juga pernah memegang beberapa portfolio Kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 1990-an.
Selain bidang politik, sumbangan akademik Anwar turut diberikan perhatian menerusi penglibatan beliau sebagai ahli akademik pelawat di St Antony’s College, Oxford, Johns Hopkins University dan Georgetown University.
Beliau juga merupakan pengasas bersama International Institute of Islamic Thought (IIIT) yang ditubuhkan di Amerika Syarikat pada 1981, selain pernah berkhidmat sebagai Pro-Canselor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari 1983 hingga 1988.
Dalam edisi 2027 itu, kedudukan teratas senarai berkenaan dikongsi Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdul-Aziz Al-Saud dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, Perdana Menteri Pakistan, Mian Muhammad Shehbaz Sharif dan Ketua Staf Tentera Darat Pakistan, Jeneral Syed Asim Munir serta Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
Pemimpin Asia Tenggara lain yang turut berada dalam kelompok 50 teratas ialah Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di kedudukan ke-16, Pengerusi Nahdlatul Ulama, Yahya Cholil Staquf (ke-21) dan ulama Indonesia, Habib Luthfi bin Yahya (ke-31).
Sementara itu, pakar pediatrik Palestin merangkap Pengarah Hospital Kamal Adwan, Dr Hussam Abu Safiya, yang ditahan Israel tanpa pertuduhan sejak Disember 2024, dipilih sebagai The Muslim 500’s Man of the Year for 2027 dan berada di kedudukan ke-50.


