
CHUPING – Selepas kira-kira 50 tahun tidak dipersembahkan secara langsung kepada khalayak umum, seni warisan Gendang Perlis kembali bertabuh menerusi program Akustika Cinta Bangsa yang berlangsung di Felda Chuping, di sini, baru-baru ini.
Persembahan kesenian tradisional itu menjadi antara tarikan utama program anjuran Pertubuhan Cinta Bangsa yang menghimpunkan lebih 500 penonton, sekali gus membuka ruang kepada masyarakat setempat khususnya generasi muda untuk mengenali khazanah budaya negeri yang semakin jarang diketengahkan.
Penaung Pertubuhan Cinta Bangsa, Prof. Dr. Khairul Anam Che Mentri berkata, kemunculan semula persembahan Gendang Perlis membuktikan kepentingan usaha berterusan untuk memastikan seni warisan tradisional tidak terus dilupakan dalam arus perubahan zaman.
“Generasi hari ini mewarisi segala kearifan dan kepandaian seni budaya daripada generasi terdahulu.
“Maka menjadi tanggungjawab generasi hari ini untuk terus memperkaya segala warisan tersebut dan mewariskannya kepada generasi akan datang,” katanya ketika ditemui semasa program berkenaan.
Khairul Anam yang juga Profesor Adjung di Institut Pengajian Antarabangsa dan ASEAN (IINTAS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, usaha mempertahankan seni budaya warisan memerlukan penglibatan aktif masyarakat, khususnya generasi muda yang bakal menjadi pewaris khazanah berkenaan.

Menurutnya, penganjuran program kebudayaan di kawasan luar bandar seperti Felda Chuping turut memberi peluang kepada penduduk setempat mendekati kesenian tradisional selain menjadi medan mencungkil bakat baharu dalam kalangan masyarakat desa.
“Pertubuhan Cinta Bangsa menyokong perjuangan penggiat seni budaya dalam mendepani arus perubahan zaman,” katanya.
Selain persembahan Gendang Perlis, program yang julung-julung kali dianjurkan di Felda Chuping itu turut menampilkan penglipur lara tradisional, Awang Batil Perlis, Ramli Mahmud serta pelbagai persembahan kesenian tempatan.

Akustika Cinta Bangsa turut menyediakan pelbagai aktiviti bagi merangsang kreativiti kanak-kanak termasuk pertandingan membina blok Lego dan mewarna, manakala golongan dewasa menyertai pertandingan congkak, mewarna serta dam ular gergasi.
Khairul Anam berkata, penganjuran aktiviti sedemikian merupakan sebahagian daripada usaha pertubuhan itu menyediakan ruang kepada masyarakat luar bandar untuk mengembangkan kreativiti, mengeratkan hubungan komuniti dan menghargai warisan budaya sendiri.
Pertubuhan Cinta Bangsa juga aktif melaksanakan program kemasyarakatan di sekitar Perlis dengan memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan, keusahawanan desa dan pemerkasaan masyarakat setempat.



