
PUTRAJAYA – Kerajaan meluluskan peruntukan lebih RM250 juta bagi memperkukuh pembangunan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kelantan, termasuk cadangan pemanjangan jajaran dari Kota Bharu ke Rantau Panjang.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, daripada jumlah itu, sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi pembinaan terminal bas baharu di Stesen ECRL Kota Bharu.
“Fasa awal pemanjangan jajaran ECRL ini meliputi kerja-kerja reka bentuk awal, ukur dan penyiasatan tanah, Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA), penyediaan Skim Kereta Api serta kerja-kerja penyediaan tapak bagi membolehkan projek dilaksanakan pada fasa seterusnya.
“Pelaburan ini bukan sekadar membina infrastruktur pengangkutan, tetapi membuka laluan kepada masa depan ekonomi Kelantan yang lebih berdaya saing.
“Ia termasuk merancakkan aktiviti perniagaan, memperkukuh sektor logistik, menarik pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” menurut kenyataan itu hari ini.
MOF berkata, kerajaan percaya pembangunan negara perlu dilaksanakan secara terangkum dan seimbang supaya manfaat kemajuan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.
Jelasnya, pembangunan tidak seharusnya tertumpu di bandar-bandar utama semata-mata, sebaliknya perlu turut dirasai penduduk di seluruh negara, termasuk di Kelantan.


