
SANDAKAN – Jabatan Perhutanan Sabah membuka galeri pameran SAN Herbarium di Pusat Penyelidikan Perhutanan (FRC), Sepilok bagi mengetengahkan warisan botani negeri ini serta kepentingan koleksi herbarium dalam penyelidikan saintifik dan pemuliharaan biodiversiti.
Jabatan Perhutanan Sabah memaklumkan, selain mempamerkan warisan botani Sabah, ia menekankan peranan penting koleksi herbarium dalam penyelidikan saintifik, dokumentasi biodiversiti dan pemuliharaan.
“Galeri pameran ini turut berfungsi sebagai platform pendidikan untuk memperkenalkan kepada pengunjung tugas ahli botani dan saintis herbarium, termasuk proses mengenal pasti tumbuhan, mendokumentasikan spesies serta memelihara spesimen saintifik,” menurut Jabatan Perhutanan Sabah, pada Selasa.
Perasmian galeri pameran berkenaan disempurnakan Ketua Konservator Hutan Sabah, Datuk Zulkifli Suara.
Untuk rekod, SAN Herbarium yang ditubuhkan pada 1916 merupakan antara kemudahan penyelidikan botani terpenting di Sabah dan menempatkan koleksi herbarium terbesar di negeri ini.
Terletak di FRC Sepilok, SAN Herbarium menyimpan lebih 280,000 spesimen tumbuhan yang dipelihara, mewakili kepelbagaian flora Sabah serta koleksi dari kawasan lain di Borneo dan luar Borneo.
Koleksi saintifik itu menjadi bahan rujukan penting bagi pengenalpastian tumbuhan, penyelidikan taksonomi, inventori biodiversiti, penilaian pemuliharaan serta dokumentasi taburan spesies tumbuhan.
Selain itu, koleksi berkenaan menyediakan rekod sejarah yang membolehkan penyelidik mengkaji perubahan kepelbagaian dan taburan tumbuhan dari semasa ke semasa.
Ia turut menyokong penyelidikan ahli botani, pegawai perhutanan, pengamal pemuliharaan dan penyelidik lain dalam meningkatkan pengetahuan serta pengurusan sumber tumbuhan Sabah.
Bagaimanapun, galeri pameran itu hanya dibuka pada hari bekerja menerusi lawatan pendidikan yang diatur lebih awal khusus untuk sekolah menengah dan institusi akademik dan tidak menerima kunjungan orang awam tanpa janji temu.
Lawatan boleh dibuat dengan menghubungi Kurator SAN Herbarium menerusi laman web https://sanherbarium.com/.



