
Oleh: Iman Haziq
ULASAN | Saya ini jarang nak taip panjang-panjang, tapi untuk isu dakwaan komitmen berlebihan KKDW (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah) saya rasa terpanggil untuk membuat ulasan. Sebab rakyat wajar memahami fakta yang betul dan bukan dakwaan kosong.
Apa yang saya ingin ulas ialah kenyataan SUA (Setiausaha Agung) KKDW, Amel Fadzmel. Saya tertarik dengan beberapa dakwaan beliau, tetapi bila merujuk kepada Hansard dan laporan media, dakwaan beliau nampaknya tersasar dari fakta.
Pertama, soal tunggakan ‘daripada tahun-tahun terdahulu’.. Menteri Kewangan II sudah jelaskan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober, KKDW berbelanja melebihi peruntukan asal sejak 2023.
Jawapan itu langsung tidak menyebut sebarang tunggakan dari 2020 hingga 2022.
Angka yang KKDW sendiri bentangkan di Dewan pada 26 Oktober menunjukkan peruntukan asal 2023 hingga 2025 ialah RM3.98 bilion, tetapi yang dibelanjakan RM6.11 bilion. Terlebih belanja RM2.1 bilion dalam tiga tahun. Senang cerita, bajet 4, belanja 6.
Walaupun peruntukan 2025 sudah dinaikkan kepada RM2.27 bilion, ia masih tidak cukup, dengan tunggakan bayaran sebanyak RM1.05 bilion.

SUA itu kemudian minta bukti duit tambahan diambil daripada kementerian lain. Buktinya ada; dalam Hansard 29 Oktober. MoF (Kementerian Kewangan) luluskan RM500 juta melalui Surat Kebenaran Berbelanja Melebihi Peruntukan (SKB), iaitu RM300 juta pada 1 September dan RM200 juta pada 21 September.
Duit itu hasil penjimatan kementerian lain, antaranya kementerian wanita, sumber asli, pelancongan, pertanian, pengangkutan, perumahan dan ekonomi. Kata Datuk Seri Amir Hamzah: ‘Kita pindahkan daripada kementerian lain untuk menampung SKB itu‘.
Malah sejak 20 Oktober lagi berita sudah melaporkan duit itu datang daripada penjimatan kementerian lain. SUA itu sepatutnya buat research sikit sebelum menulis ‘sila kemukakan bukti‘.
Katanya lagi, semua komitmen dibuat dengan kelulusan MoF dan Kementerian Ekonomi. Kelulusan projek bukan lesen untuk berbelanja lebih daripada peruntukan. Ikut Arahan Perbendaharaan, Ketua Setiausaha kementerian bertanggungjawab mengawal perbelanjaan supaya tidak melebihi peruntukan.
Menteri Kewangan II merujuk peraturan ini di Dewan. Arahan yang sama mewajibkan bil dibayar dengan segera. Ketua Setiausaha Perbendaharaan pula sudah jelaskan sejak 2 September: tiada sekatan, dan peruntukan jalan luar bandar KKDW telah disalurkan sepenuhnya. Masalah bayaran timbul kerana peruntukan tahun ini sudah hampir habis dibelanjakan ketika itu.
Tangguh sampai bila? Jawapannya ada dalam Hansard. Surat Setuju Terima (SST), iaitu surat yang melantik kontraktor bagi projek baharu, ditangguhkan sementara tunggakan sedia ada diselesaikan.
Logiknya mudah: bayar dulu kontraktor yang sudah siapkan kerja, termasuk kontraktor kecil dan kontraktor Bumiputera yang beliau sebut, baru beri kerja baharu. Tahun ini peruntukan jalan luar bandar sudah dinaikkan kepada RM3.1 bilion, dan RM2.27 bilion disediakan untuk 2027.

Kenyataan beliau menyebut 40 projek dibatalkan proses tender dan 87 projek ditangguhkan pengeluaran SST. Projek yang tendernya dibatalkan belum ada kontraktor. Yang 87 itu pula belum dikeluarkan SST, maknanya kontraktor belum dilantik. Menteri Kewangan II sudah tegaskan di Dewan:
“Maka adalah tidak benar dakwaan bahawa MOF membatalkan projek.”
Dalam kenyataan yang sama, beliau tulis KKDW ‘terpaksa mengorbankan’ program lain, termasuk RM200 juta untuk membina dan membaiki rumah golongan miskin dan Orang Asli. Yang pindahkan duit itu, KKDW sendiri.
Pada 2023 sahaja, antara peruntukan yang dikurangkan untuk menampung jalan luar bandar ialah KEMAS, JAKOA, MARA, bekalan elektrik luar bandar dan bekalan air luar bandar. Itulah akibat apabila KKDW berbelanja lebih daripada bajet. Bukan arahan MoF.
Akhir sekali SUA itu kata beliau akan bawa perkara ini dalam kempen-kempen di Melaka.
Perkara apa? Jawapan kepada dakwaan SUA itu ada dalam Hansard, ada dalam berita. Sebelum bawa benda ini ke Melaka, saya cadangkan saudara SUA rujuk Hansard dulu.
Saya juga sudah tentu bersetuju bahawa jalan luar bandar harus dibina dan kontraktor mesti dibayar. Tapi setiap perkara ada had, termasuk perbelanjaan. Sebab itu kita ada bajet yang Perdana Menteri bentang setiap tahun. Dan kalau sesuatu Kementerian sudah terlebih komitmen berbelanja, begini lah jadinya.
Jangan lah tiba-tiba nak gunakan kesalahan sendiri untuk jadi isu kempen pilihanraya sambil menolak kebenaran dan fakta. KKDW dan MoF harus berbincang baik-baik supaya perkara ini dapat diselesaikan untuk kepentingan semua.
***Penulis adalah Ketua AMK Selangor


