
BEAUFORT – Sebanyak 247 geran tanah diserahkan kepada penduduk Beaufort yang melibatkan keluasan keseluruhan 889.21 ekar menerusi penyerahan geran tanah Fasa Kedua di daerah ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak 24 geran merupakan geran PANTAS melibatkan keluasan 77.51 ekar, manakala baki 223 geran ialah geran Tanah Anak Negeri (NT) biasa dengan keluasan 811.7 ekar.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih berkata, penyerahan geran berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memastikan hak pemilikan tanah penduduk dapat diselesaikan dan diserahkan kepada penerima yang layak.
“Sebanyak 572 geran tanah telah diserahkan pada fasa pertama, menjadikan jumlah keseluruhan geran yang diserahkan setakat ini sebanyak 819 geran.
“Ini kerja kita. Kita buat kita serahkan bukan macam orang dulu, Orang lain buat, mereka serahkan,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Program MADANI Kita @ Beaufort dan Penutupan Festival Bagandang Beaufort, di Dataran Bagandang, di sini pada Ahad.
Menurutnya, Kerajaan Negeri Sabah akan terus memastikan setiap permohonan tanah diproses menerusi Mesyuarat Tindakan Tanah Daerah yang diadakan empat kali setahun.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan permohonan penduduk tidak tercicir dan geran dapat diserahkan kepada rakyat.
“Kita akan proses dan kita akan bagi, serta pastikan permohonan-permohonan ini tidak akan terlepas daripada diserahkan kepada rakyat,” ujarnya.
Beliau yang juga ADUN Klias berkata, kerajaan negeri terus melaksanakan tanggungjawabnya dalam memperjuangkan hak rakyat, termasuk melalui penyelesaian isu pemilikan tanah.
Terdahulu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyerahkan geran itu sempena Festival Bagandang Peringkat Daerah Beaufort yang turut disaksikan kehadiran masyarakat setempat dan pengunjung dari luar daerah.



