
Beaufort – Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan RM2.3 juta tahun ini bagi memperkukuh usaha pencegahan dadah menerusi peluasan Program TEKAD Sektor Awam dan pemerkasaan SKUAD Antidadah, sebagai komitmen berterusan membendung ancaman penyalahgunaan dadah di negeri ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peruntukan itu diluluskan menerusi Mesyuarat Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) bagi 2026, selain pelaksanaan pelbagai inisiatif oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah.
Beliau berkata, pembangunan Sabah bukan sahaja diukur melalui pertumbuhan ekonomi dan kemajuan infrastruktur, tetapi turut bergantung kepada kesejahteraan keluarga, keselamatan komuniti dan masa depan generasi muda.
“Ancaman dadah tidak boleh dipandang ringan kerana kesannya bukan sahaja menjejaskan kesihatan dan kehidupan individu, malah turut menggugat keharmonian keluarga, keselamatan masyarakat serta produktiviti negeri.
“Di sebalik setiap angka yang direkodkan, terdapat individu dan keluarga yang memerlukan perhatian, bimbingan dan sokongan untuk membina kehidupan lebih baik,” katanya ketika berucap merasmikan Program MADANI Kita 2026 dan Penutupan Festival Bagandang Beaufort di Dataran Bagandang, di sini, pada Ahad.
Menurutnya, berdasarkan statistik AADK sehingga Jun 2026, seramai 130,307 individu direkodkan sebagai penagih dan penyalah guna dadah di seluruh negara, menurun 3.4 peratus berbanding 134,916 individu bagi tempoh sama tahun lalu.
“Di Sabah, seramai 5,269 individu direkodkan dengan penurunan sebanyak 0.02 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
“Walaupun terdapat penurunan, kita tidak boleh berasa selesa kerana ancaman dadah terus berkembang, khususnya membabitkan dadah sintetik seperti Amphetamine-Type Stimulants (ATS), bahan psikoaktif baharu (NPS) dan opioid sintetik seperti fentanyl,” ujarnya.
Tambahnya, golongan belia berusia 19 hingga 39 tahun perlu diberikan perhatian serius kerana mereka antara penggerak utama pembangunan negeri.
“Sekiranya golongan itu terjerumus dalam penyalahgunaan dadah, kesannya bukan sahaja menjejaskan masa depan mereka, malah turut merugikan keluarga, ekonomi dan masyarakat.
“Oleh itu, Sabah terus memperkukuh pencegahan melalui peranan keluarga, meningkatkan penguatkuasaan dan kerjasama antara agensi serta memperluas akses rawatan, pemulihan dan peluang pekerjaan kepada bekas penagih.
“Kita perlu tegas terhadap kegiatan pengedaran dadah, namun pada masa sama memberikan ruang kepada individu yang berusaha untuk pulih. Mereka tidak seharusnya terus di beban stigma sehingga sukar kembali kepada keluarga dan masyarakat.
“Sebaliknya, mereka perlu dibimbing, diberikan peluang kedua dan dibantu untuk kembali menyumbang kepada pembangunan negara,” kongsinya.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan Bantuan SYUKUR dan Bantuan Bakul Makanan Skuad Prihatin kepada penduduk Beaufort yang berkelayakan.



