KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Negeri Sembilan (MPNPHNS) menyarankan agar pihak berkuasa menjalankan siasatan telus, bebas dan menyeluruh berhubung dakwaan wujud usaha untuk menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir daripada takhta.
MPNPHNS berkata, siasatan perlu dilakukan berikutan dakwaan membabitkan penglibatan 10 anggota Exco negeri dalam usaha berkenaan, termasuk tindakan yang didakwa mempunyai kaitan dengan pengiktirafan Yang di-Pertuan Besar lain.
Menurutnya, perkara itu menjadi lebih serius apabila Menteri Besar Negeri Sembilan melalui surat bertarikh 17 September lalu didakwa memohon supaya penurunan takhta itu diiktiraf serta mengarahkan pentadbiran kerajaan negeri melaksanakan perkara berkenaan.
“MPNPHNS memandang berat dan mengutuk sekeras-kerasnya penglibatan secara total Exco negeri dalam usaha untuk menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta.
“Justeru, keseluruhan perkara ini perlu disiasat secara telus, bebas dan menyeluruh oleh pihak berkuasa berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MPNPHNS berkata, sekiranya siasatan mendapati berlaku sebarang pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya perlu diambil tanpa mengira kedudukan atau pangkat pihak yang terbabit.
Katanya, perkara itu juga perlu dilihat serius kerana membabitkan anggota pentadbiran negeri yang sudah mengangkat sumpah dan ikrar taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar serta institusi diraja.
Dalam pada itu, MPNPHNS berkata, titah Tuanku Muhriz yang dibuat berdasarkan kuasa dan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959) perlu dihormati, dijunjung dan dipatuhi.
MPNPHNS turut merujuk kenyataan Istana Negeri Sembilan bertarikh 20 September lalu berhubung pembatalan pelantikan anggota Exco berkuat kuasa serta-merta atas alasan mereka melanggar sumpah jawatan.
Sehubungan itu, MPNPHNS berkata, Menteri Besar perlu mengambil tindakan sewajarnya susulan titah berkenaan supaya senarai calon Exco baharu dapat dipersembahkan untuk pertimbangan dan perkenan Tuanku Muhriz mengikut UUTKNS 1959.
MPNPHNS turut menegaskan prinsip kesetiaan kepada Raja dan Negara dalam Rukun Negara perlu diterjemahkan melalui tindakan dan bukan sekadar dilafazkan menerusi sumpah serta ikrar.
Sementara itu, MPNPHNS akan mengadakan Munajat Rakyat Negeri Sembilan menerusi solat hajat secara berjemaah di Seremban pada 24 September ini, disusuli solat hajat di peringkat Parlimen pada minggu berikutnya.
Katanya, usaha itu bertujuan memohon agar kemelut berkenaan dapat diselesaikan serta Negeri Sembilan terus berada dalam keadaan aman, harmoni dan sejahtera.




