
PUTRAJAYA – Sebanyak 670 permohonan peruntukan penyelenggaraan sekolah menerusi Saluran Khas Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diterima dalam tempoh seminggu sejak dibuka.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, permohonan itu diterima daripada PIBG pelbagai jenis sekolah di seluruh negara.
“Saya gembira melihat sambutan ini. Ia menunjukkan kesungguhan PIBG untuk bersama-sama membantu meningkatkan kemudahan dan persekitaran sekolah demi keselesaan anak-anak kita.
“Saya mahu PIBG memainkan peranan yang lebih besar sebagai rakan strategik KPM. Ibu bapa yang setiap hari menghantar anak ke sekolah juga mempunyai pandangan tentang perkara yang perlu diberikan perhatian,” katanya menerusi Facebook pada Selasa.

Menurut Fadhlina, permohonan masih dibuka sehingga 30 November 2026.
Melalui Belanjawan 2027, kerajaan memperuntukkan hampir RM69 bilion kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memperkukuh kualiti pendidikan, prasarana, serta kebajikan murid dan guru.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM2 bilion disediakan untuk membaik pulih dan menyelenggara semua jenis sekolah.


