PETALING JAYA – Ketua UMNO Cawangan Pinggiran Sri Baduri, Datuk Ir Abdul Aziz Abdullah, meletakkan jawatan daripada kedudukannya berkuat kuasa 21 September lalu susulan rasa kecewa terhadap pendirian kepemimpinan UMNO Negeri Sembilan berhubung kemelut membabitkan institusi diraja negeri itu.
Abdul Aziz yang juga berada di bawah Bahagian UMNO Damansara berkata, keputusan berkenaan dibuat kerana beliau tidak dapat menerima sikap kepemimpinan UMNO di Negeri Sembilan yang didakwanya tidak menghormati Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
“Kenapa saya memilih untuk meletakkan jawatan? Sebab saya tidak sanggup menanggung kemarahan dan kesedihan terhadap sikap pemimpin UMNO hari ini di Negeri Sembilan yang begitu tidak menghormati Tuanku Muhriz,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Beliau berkata, perkembangan di Negeri Sembilan mempunyai kepentingan tersendiri kepadanya kerana kini menetap di negeri berkenaan selain mempunyai pertalian keluarga dengan negeri itu.
“Ibu saya berasal dari Johor, tetapi ayah saya anak jati Negeri Sembilan,” katanya.
Abdul Aziz berkata, faktor itu antara sebab beliau mengikuti perkembangan membabitkan pentadbiran kerajaan negeri dan Istana Negeri Sembilan.
“Saya tidak boleh menerima sikap yang ditunjukkan Menteri Besar, anggota Exco dan UMNO di Negeri Sembilan. Saya tidak boleh terima,” katanya.
Peletakan jawatan itu berlaku ketika kemelut berhubung kedudukan anggota Exco Negeri Sembilan masih berlarutan.
Pada 20 September lalu, Istana Negeri Sembilan memaklumkan Tuanku Muhriz berkenan membatalkan pelantikan anggota Exco berkuat kuasa serta-merta selepas mendapati mereka melanggar sumpah jawatan melalui tindakan dan kenyataan pada 15 September.
Kenyataan Istana turut merujuk Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang menyatakan anggota Exco, kecuali Menteri Besar, memegang jawatan atas perkenan Yang di-Pertuan Besar.
Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, mempertikaikan kesan pembatalan pelantikan berkenaan dengan menyatakan beliau tidak pernah memberikan nasihat atau dirujuk mengenai perkara itu.
Ismail turut menegaskan anggota Exco sedia ada akan terus menjalankan tugas mereka.Perbezaan pendirian antara Istana dan pentadbiran kerajaan negeri itu menyebabkan status serta fungsi Exco Negeri Sembilan terus menjadi perhatian dalam kemelut berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menghadap Tuanku Muhriz di Istana Negeri Sembilan pada 21 September lalu susulan perkembangan terbabit.




