
DOHA – Malaysia menggesa pendekatan lebih menyeluruh dalam memperluas ketersambungan digital global dengan tidak hanya memberi tumpuan kepada kawasan berpenduduk, malah meliputi lokasi ekonomi utama seperti pelabuhan, rangkaian kereta api dan lebuh raya.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, akses Internet yang stabil di kawasan berkenaan semakin penting bagi menyokong operasi perniagaan, pertumbuhan ekonomi dan daya tahan negara.
Beliau berkata, Malaysia berharap Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dapat meneroka konsep CoEA bersama negara anggota sebagai pendekatan tambahan untuk menilai tahap ketersambungan digital serta memajukan pembangunan yang inklusif dan mampan.
“Berpandukan kemajuan itu, kita kini meneliti bagaimana untuk memperluas liputan melangkaui CoPA (Coverage of Population Areas) dan turut merangkumi CoEA.
“Ini bermakna liputan perlu diperluas ke lokasi seperti pelabuhan, rangkaian kereta api dan lebuh raya, yang memerlukan akses Internet stabil bagi menyokong operasi perniagaan, pertumbuhan ekonomi dan daya tahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan dasar negara pada Persidangan Perwakilan Penuh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2026 (ITU PP-26) di sini, Isnin.

Mengulas kemajuan infrastruktur digital negara, Fahmi berkata, Malaysia berjaya memperluas liputan Internet menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), khususnya di kawasan yang sebelum ini kurang mendapat perkhidmatan telekomunikasi.
Katanya, setakat September 2026, liputan Internet di kawasan berpenduduk di seluruh negara mencapai 99.75 peratus, manakala jumlah langganan 5G mencecah 31.3 juta.
Bagaimanapun, beliau menegaskan peluasan infrastruktur telekomunikasi hanyalah langkah permulaan ke arah transformasi digital yang bermakna.
Menurutnya, masyarakat juga perlu dilengkapi kemahiran digital serta diberikan peluang untuk memanfaatkan kemudahan ketersambungan yang semakin meluas.
Sehubungan itu, Fahmi berkata, Malaysia terus memperkukuh keterangkuman digital menerusi 1,099 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang menyediakan kemudahan kepada masyarakat untuk meningkatkan kemahiran digital dan meneroka peluang keusahawanan.
Malah, pada April 2026, NADI turut menyertai rangkaian Pusat Transformasi Digital ITU, sekali gus memperkukuh komitmen negara dalam memperkasakan masyarakat menerusi penggunaan teknologi.
Dalam aspek keselamatan pula, beliau berkata, ketersambungan digital yang bermakna perlu disokong persekitaran dalam talian yang selamat dan dipercayai.

Katanya, Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 yang berkuat kuasa pada Januari 2026 memperkukuh akauntabiliti penyedia platform serta melindungi pengguna Internet, khususnya kanak-kanak, daripada ancaman dan kemudaratan dalam talian.
“Untuk memperkukuh usaha itu, Kempen Keselamatan Internet di seluruh negara telah mencapai lebih tiga juta peserta, dengan mempromosikan literasi digital dan tingkah laku bertanggungjawab ketika melayari Internet,” katanya.
Sementara itu, Fahmi menegaskan komitmen Malaysia untuk terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa dalam memajukan agenda pembangunan digital.
Beliau berkata, Malaysia telah menjadi anggota ITU sejak 1958 dan kini turut menganggotai Majlis ITU.

Sehubungan itu, beliau berharap negara anggota memberikan sokongan terhadap pencalonan Malaysia untuk dipilih semula sebagai anggota Majlis ITU bagi penggal 2027 hingga 2030.
“Marilah kita bekerjasama bagi memastikan semua pihak dapat menikmati manfaat digital yang saling terhubung, inklusif dan selamat,” katanya.
Persidangan bertemakan Together for A Connected, Digital Future itu menghimpunkan negara anggota ITU bagi membincangkan keutamaan telekomunikasi global serta hala tuju pembangunan digital pada masa hadapan.
Fahmi kini dalam rangka lawatan kerja ke Doha dari 6 hingga 11 November bagi mengetuai delegasi Malaysia ke ITU PP-26.
Beliau diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran, selain wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta syarikat telekomunikasi termasuk Telekom Malaysia (TM), CelcomDigi, Maxis dan U Mobile.
Sebagai agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang khusus dalam bidang teknologi digital, ITU memainkan peranan penting dalam kerjasama telekomunikasi antarabangsa, penyelarasan spektrum radio serta usaha merapatkan jurang digital global.
