Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa susulan sentimen pasaran berhati-hati menjelang data inflasi AS.
Pada 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.0550/0610 berbanding dolar AS daripada 4.0565/0610 ketika ditutup Jumaat lalu. Pasaran ditutup Isnin sempena cuti gantian Deepavali.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid ketika dihubungi Bernama memaklumkan, pelabur menanti data inflasi AS kerana bacaan lebih rendah boleh menekan hasil Perbendaharaan AS dan dolar AS, sekali gus menyokong ringgit.
Katanya, harga minyak mentah Brent susut 5.85 peratus kepada AS$92.57 setong selepas Presiden AS, Donald Trump memberi petunjuk perang dengan Iran mungkin berakhir, sekali gus meredakan kebimbangan gangguan bekalan.
Indeks Dolar AS susut 0.61 peratus kepada 101.679 susulan perkembangan itu.
Di dalam negara, petunjuk ekonomi Malaysia dan keputusan Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada 2.75 peratus dijangka memberi asas stabil kepada ringgit.
“Ringgit dijangka diniagakan dalam lingkungan RM4.05 hingga RM4.06 hari ini,” katanya.
Ringgit bagaimanapun susut berbanding yen Jepun kepada 2.5666/5704, euro kepada 4.5505/5573 dan pound Britain kepada 5.4499/4580.
Berbanding mata wang ASEAN, ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1704/1756 dan baht Thailand kepada 12.1367/1641, kekal berbanding rupiah Indonesia pada 224.2/224.6, namun meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.40/6.42.


