BUKIT RAMBAI – Kerajaan disaran memperkenalkan mekanisme pemutihan pekerja asing tanpa permit bagi membolehkan golongan itu yang masih berminat bekerja di negara ini didaftarkan secara sah di bawah majikan tempatan.
Penduduk Bukit Rambai, Datuk Jaafar Bisman, 70, berkata, pendekatan itu boleh dipertimbangkan sebagai usaha mengoptimumkan tenaga kerja sedia ada, selain memberi manfaat kepada kerajaan, majikan dan pekerja terbabit.
Menurut beliau, langkah berkenaan juga dapat mengurangkan kebergantungan kepada pengambilan pekerja baharu dari luar negara yang memerlukan kos lebih tinggi, termasuk urusan agensi dan dokumentasi.
“Kalau kita ambil pekerja yang sudah ada di dalam negara, kosnya mungkin sekitar RM5,000 sahaja berbanding pekerja baharu dari Bangladesh yang boleh mencecah kira-kira RM20,000 seorang.
“Bayangkan pekerja datang ke sini buat kerja pembersihan dengan gaji RM1,700, sedangkan kos berkaitan untuk setahun sahaja sudah sekitar RM5,000. Mungkin kerajaan boleh pertimbangkan keadaan ini dan melihat kaedah yang lebih sesuai.
“Jadi, kerajaan boleh melihat kemungkinan melaksanakan pemutihan sekali lagi supaya mereka yang masih mahu bekerja dapat didaftarkan secara sah,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.
Dalam pada itu, Jaafar berkata, pelaksanaan mekanisme pemutihan perlu disertai kerjasama antara agensi berkaitan termasuk Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan proses pendaftaran serta pemantauan berjalan teratur.

Menurutnya, pekerja yang sudah lama berada di negara ini juga mempunyai kelebihan dari segi pengalaman dan penguasaan bahasa Melayu, sekali gus memudahkan komunikasi dengan majikan serta urusan kerja harian.
“Kita bersihkan itu dulu, kita jangan hantar pulang, beri kepada syarikat untuk daftar dia sebagai pekerja yang sah. Kerajaan boleh untung, syarikat boleh untung. Kalau kita ambil daripada asal negara asal dia, merugikan semua kerana caj dikenakan terlalu tinggi.
“Kalau mereka sudah biasa bekerja di sini, mereka faham bahasa dan arahan majikan. Itu antara kelebihan yang boleh dipertimbangkan dalam usaha menyusun semula tenaga kerja sedia ada,” katanya.


