Gambar hiasan
KUANTAN – Daerah Jerantut dan Rompin diramal berdepan banjir bermula jam 1 pagi esok hingga 11.59 malam, 14 November ini.
Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan, ramalan itu membabitkan kawasan rendah dalam lembangan Sungai Rompin dan Sungai Pahang.
Ia susulan Amaran Hujan Berterusan Tahap Waspada dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada jam 8.30 pagi tadi dan model ramalan banjir JPS.
Di Rompin, kawasan berisiko termasuk Kampung Aur, Kampung Meripoh, Kampung Tebu Hitam, Pantai Bernas, Kampung Ayau, Leban Chondong, Kampung Gading dan Kampung Sarang Tiong.
Turut terlibat, Kampung Mikang, Kampung Buluh Nipis, Kampung Simpang Sepayang, Kampung Sepayang, Kampung Tengah, Kampung Tekek, Perumahan Murah Kampung Tekek, Kampung Serinkin serta Kampung Janglau 1, 2 dan 3.
Di Jerantut pula, kawasan diramal terjejas ialah Perumahan FELDA Jengka 24 Blok 11, Taman Ria, Perumahan Sungai Jan, FELDA Gelanggi 1 dan 3, Kampung Baharu, Kampung Besul, Kampung Jerangsang, Kampung Sungai Siam, Kampung Lata Kasah, Kampung Kuala Pengau, Kampung Kuala Teh, Kampung Batu Balai, Kampung Sempadan, FELDA Sungai Retang, FELDA Padang Piol dan Kampung Paya Garuk.
PRABN berkata, JPS akan terus memantau keadaan dan mengeluarkan hebahan amaran sekiranya hujan signifikan berterusan.
Banjir diramal boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada tarikh dijangkakan.
Semua agensi pengurusan bencana dan penduduk di kawasan terlibat diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa.



