
PETALING JAYA – Peguam Negara (AG), Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar tidak wajar dipersalahkan atas kesilapan dokumen yang disediakan oleh pihak mahkamah, kata Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid Ali.
Beliau yang juga seorang peguam berkata demikian berhubung kontroversi kesilapan dalam perintah mahkamah berkaitan pelaksanaan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurutnya, pihak yang mempertikaikan kandungan perintah berkenaan sepatutnya mendapatkan penjelasan daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan bukannya menuding jari kepada Dusuki atau barisan peguam yang terlibat dalam kes itu.
“Bagi kes-kes jenayah, peguam bela atau Peguam Negara tidak terbabit. Yang akan sediakan adalah mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, dokumen itu didakwa mengandungi arahan pembebasan serta-merta terhadap bekas Perdana Menteri berkenaan, namun pada masa sama menyatakan beliau perlu menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Beliau menjelaskan, pegawai mahkamah bertanggungjawab menyediakan dokumen berkaitan penahanan atau pembebasan banduan, pembayaran denda serta pemulangan pasport.
Sehubungan itu, katanya, pendaftar jenayah Mahkamah Tinggi yang mengendalikan urusan dokumentasi bagi kes jenayah perlu tampil memberikan penjelasan mengenai kesilapan dalam perintah berkenaan.
Rafique berkata, prosedur itu berbeza bagi kes sivil apabila peguam pihak yang menang lazimnya menyediakan draf perintah mahkamah sebelum mengemukakannya kepada pihak lawan untuk pengesahan dan seterusnya diserahkan kepada mahkamah.
Dalam pada itu, beliau turut mengkritik barisan peguam dan bekas pegawai undang-undang kerajaan yang mempersoalkan struktur ayat dalam perintah berkaitan Najib.

Katanya, sesetengah pihak yang mengulas isu itu dilihat kurang memahami prosedur kerja mahkamah jenayah.
“Saya hormati pandangan anda, tapi perlu ada pemahaman tentang prosedur mahkamah sebelum beri komen,” katanya.
Terdahulu, Dusuki menyifatkan kesilapan dalam perintah berkenaan sebagai sesuatu yang jelas dan sepatutnya dapat dikesan sekiranya dokumen itu disemak dengan teliti.
Susulan perkembangan itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memohon penangguhan pemindahan Najib ke tahanan rumah sementara persoalan berkaitan pelaksanaan hukuman penjara bagi kes SRC International diselesaikan.
Perkara itu turut melibatkan persoalan bagaimana pelaksanaan baki hukuman berkenaan memberi kesan terhadap hukuman penjara 15 tahun berasingan yang dikenakan terhadap Najib dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sebelum ini, Rafique pernah mengkritik pengendalian kes Najib oleh AGC dengan mempersoalkan tindakan jabatan itu yang hanya membangkitkan kebimbangan mengenai pelaksanaan tahanan rumah selepas bekas Perdana Menteri berkenaan menjelaskan denda RM50 juta.


