
KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bagi menyemak semula perintah pelepasan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dikeluarkan pada 6 November lalu.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, permohonan itu bertujuan mendapatkan perintah pelepasan baharu supaya pelaksanaannya selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lalu.
“Permohonan itu bertujuan mendapatkan satu perintah pelepasan baharu, selaras dengan perintah pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lalu,” katanya pada Selasa.

Permohonan yang difailkan pada 10 November itu dibuat bagi membolehkan mahkamah meneliti semula perintah berkenaan dan memastikan pelaksanaannya menepati pengampunan yang diberikan kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Pada 6 November lalu, Najib dilaporkan menjelaskan denda RM50 juta di kaunter pembayaran hasil dan deposit Mahkamah Tinggi di sini bagi membolehkan baki hukuman penjaranya dijalani menerusi tahanan di rumah.
Bagaimanapun, beliau kembali ke Penjara Kajang selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Sebelum ini, AGC memaklumkan pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Perkembangan terbaharu itu menyusul selepas Mohd Dusuki membangkitkan isu kecacatan pada perintah pelepasan berkenaan.
Beliau menegaskan ketelitian dalam penyediaan dokumen rasmi amat penting bagi mengelakkan pertikaian, khususnya berkaitan ketepatan penggunaan istilah undang-undang.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas beliau didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram serta satu pertuduhan salah guna kedudukan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Najib mula menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 sebelum mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 2 September tahun sama.
Pada 18 September lalu, beliau menerima pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang membolehkan baki hukuman penjara dijalani menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.



