
ENGKILILI – Kesedaran mendalam mengenai sejarah pembentukan negara dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu terus diperkukuh, khususnya dalam kalangan generasi muda bagi memastikan mereka memahami kedudukan dan hak sebenar Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.
Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi berkata, pengetahuan sejarah ini amat kritikal agar kefahaman masyarakat berhubung status dan hak perlembagaan wilayah itu tidak pudar ditelan zaman.
“Pengetahuan mengenai sejarah pembentukan negara dan MA63 amat penting bagi meningkatkan kesedaran rakyat tentang kedudukan serta hak Sarawak dalam Persekutuan Malaysia. Ia perlu terus diberi perhatian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA) Car Free Day di bawah One Health Promotion MDLA bersempena dengan sambutan Hari Malaysia 2026 di Rumah Rebecca, Lipat Ulu, pada Rabu.

Menyentuh mengenai penganjuran acara kemasyarakatan tersebut, Roy menyambut baik inisiatif berkenaan dan berharap ia dapat dilaksanakan secara berterusan berikutan impak positifnya kepada penduduk setempat.
Menurut beliau, program riadah komuniti seumpama itu wajar dianjurkan dengan lebih kerap memandangkan ia bukan sahaja berjaya menggalakkan amalan gaya hidup sihat, malah menyediakan platform terbaik untuk mengeratkan ukhuwah serta perpaduan dalam kalangan masyarakat.





