
KOTA KINABALU – Hak dan kepentingan Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan terus diperjuang dan direalisasikan melalui semangat kerjasama erat bersama Kerajaan Persekutuan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Hari Malaysia memberi ruang kepada rakyat untuk menghayati kedudukan Sabah terutama dari segi MA63 dan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan asas penting membentuk hubungan antara Sabah dengan Persekutuan.
“Kerajaan negeri akan terus konsisten mempertahankan kepentingan dan hak Sabah melalui saluran perlembagaan, rundingan dan kerjasama antara kerajaan.
“Kita percaya bahawa hubungan Persekutuan yang kukuh lahir daripada sikap saling menghormati, keadilan dan kesediaan menunaikan tanggungjawab yang telah dipersetujui.
“Memperjuangkan hak Sabah bukan bererti menjauhkan Sabah daripada Malaysia. Sebaliknya, ia adalah sebahagian daripada usaha memperkukuhkan asas Persekutuan supaya setiap rakan berasa dihormati, setiap tanggungjawab dilaksanakan dan setiap rakyat memperoleh manfaat daripada sebuah negara Malaysia yang stabil dan makmur,” katanya.

Teks ucapan beiau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam pada sambutan Hari Malaysia peringkat Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Rabu.
Tambah Hajiji, selepas 63 tahun pembentukan Malaysia, makna 16 September ini kekal besar bahawa negara kita dibina atas persetujuan, kepelbagaian dan tekad untuk bergerak bersama sebagai satu Persekutuan yang berdaulat.
“Bagi Sabah, 16 September amat bermakna kerana menyatukan rakyat dalam kepelbagaian kaum, budaya dan kepercayaan, yang menjadi kekuatan Malaysia.
“Kita mesti terus memelihara budaya muafakat ini. Perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi jurang yang memisahkan.
“Generasi muda juga perlu dibekalkan ilmu, kemahiran dan keyakinan, selain memahami sejarah serta menghargai warisan demi menjaga keamanan, perpaduan dan kedaulatan negara,” kongsinya.
Dalam pada itu, Ketua Menteri berkata, tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’, mencerminkan aspirasi kerajaan memastikan kemajuan dan kemakmuran negara dinikmati secara adil serta saksama oleh seluruh rakyat.
“Dalam hal ini jelas bahawa kemajuan tidak memadai jika hanya kelihatan pada angka dan bangunan, sebaliknya kemajuan mesti dapat dirasai dalam kehidupan seharian rakyat.
“Bagi Sabah, kesejahteraan juga bermaksud jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar terus dirapatkan, ketersambungan dipertingkat dan peluang ekonomi diperluas hingga ke akar umbi.
“Namun kesejahteraan hanya dapat dikekalkan dalam suasana aman dan bersatu. Sebab itu perpaduan bukan sekadar slogan pada musim sambutan perpaduan ialah prasyarat kepada kestabilan, pelaburan, pembangunan dan masa depan anak-anak kita,” ujarnya.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin.





