
SARATOK – Seorang pembantu kedai wanita tempatan berusia 33 tahun ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes pecah amanah melibatkan kerugian dianggarkan mencecah RM179,000 di sebuah kedai cermin mata.
Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintenden (DSP) Mathew Manggie berkata, suspek ditahan oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJKD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok pada 14 September lalu.
Menurut beliau, kes tersebut mula terbongkar pada Jun lepas apabila pengadu yang juga pengurus kedai mendapati terdapat percanggahan dalam rekod pembayaran pelanggan.
“Kejadian disedari selepas seorang pelanggan lelaki datang untuk mengambil cermin mata yang ditempah. Pelanggan tersebut mendakwa bayaran penuh sepatutnya telah dibuat, namun rekod resit kedai masih menunjukkan terdapat baki bayaran yang belum dijelaskan.
“Susulan itu, pengadu telah melakukan semakan terperinci terhadap bil-bil dan resit transaksi terdahulu sebelum mendapati wujud perbezaan nilai transaksi yang dianggarkan berjumlah RM179,000,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Mathew menjelaskan bahawa pengadu mengesyaki penyelewengan itu telah berlarutan untuk suatu tempoh yang lama, dengan suspek disyaki sebagai dalang utama memandangkan dia dipertanggungjawabkan untuk menguruskan operasi kedai tersebut secara sepenuhnya.
Tambah beliau, pengadu juga mendedahkan bahawa suspek sebelum ini pernah membuat pengakuan menyalahgunakan wang hasil jualan kedai untuk kegunaan peribadi.
“Suspek pada awalnya berjanji untuk membayar ganti rugi berkenaan dengan mendapatkan pinjaman pembiayaan semula rumahnya, namun gagal berbuat demikian. Kegagalan suspek melunaskan wang tersebut mendorong pengadu membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Beliau berkata, suspek yang kini ditahan di lokap Balai Polis Saratok, manakala kertas siasatan sedang dilengkapkan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah amanah oleh pekerja.






