KUALA LUMPUR – Malaysia menegaskan amalan dwistandard dalam pelaksanaan undang-undang antarabangsa tidak boleh diterima kerana ia menjejaskan kepercayaan antara negara serta menggugat prinsip keadilan yang menjadi asas hubungan antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara berdepan pengalaman tersebut apabila pembekal dari Norway membatalkan secara unilateral penghantaran peluru berpandu antikapal (NSM) yang telah ditempah, walaupun hampir keseluruhan nilai kontrak sudah dijelaskan.
Beliau berkata, tindakan itu bukan sekadar menjejaskan kepentingan Malaysia, malah mencerminkan kemerosotan terhadap penghormatan kepada norma serta undang-undang antarabangsa yang semakin ketara.
Menurutnya, terdapat kecenderungan sesetengah pihak meletakkan kepentingan geopolitik mengatasi kewajipan kontrak, sekali gus menghakis keyakinan terhadap sistem berasaskan peraturan yang selama ini dilaungkan masyarakat antarabangsa.
“Pendirian Malaysia dalam perkara ini, sama ada kepada syarikat berkenaan atau kerajaan Norway, amat jelas.
“Walaupun Malaysia akan terus mendapatkan penyelesaian melalui saluran diplomatik dan perundangan, episod ini mencerminkan suatu masalah yang lebih besar serta trend yang membimbangkan, iaitu amalan dwistandard oleh pihak yang mendakwa menjunjung kedaulatan undang-undang, selain sikap hipokrit mereka yang memilih untuk berdiam diri apabila pelanggaran sedemikian berlaku.
“Apakah boleh diterima jika sesetengah negara bebas mengabaikan undang-undang dan norma antarabangsa, sedangkan negara lain pula tertakluk kepada standard pematuhan yang paling ketat?
“Jika inilah cara rakan di Barat memilih untuk melayan negara di Selatan Global dan jika prinsip ‘satu peraturan untuk kami, satu lagi untuk kamu’ benar-benar menjadi norma yang ingin diketengahkan, maka keadaan ini tidak memberikan petanda yang baik terhadap masa depan hubungan kita sebagai rakan kongsi dan sahabat yang setara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada sesi Meja Bulat Asia Pasifik Ke-39 di sini, hari ini.
Pada Mei lalu, kerajaan Norway membatalkan lesen eksport peluru berpandu NSM dan sistem pelancar berkaitan kepada Malaysia dengan alasan faktor keselamatan negara.
Kontrak perolehan sistem persenjataan itu dimeterai antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) pada April 2018, melibatkan nilai 124 juta euro atau kira-kira RM571.9 juta bagi melengkapkan enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) milik TLDM.
Walaupun Menteri Pertahanan Norway, Tore O Sandvik, telah memohon maaf berhubung keputusan tersebut, Malaysia tetap meneruskan tindakan undang-undang terhadap syarikat pembekal yang berpangkalan di negara itu.
Dalam sesi soal jawab selepas ucaptama, Anwar berkata, isu berkenaan turut memberi kesan kepada hubungan Malaysia dengan Kesatuan Eropah (EU), sehingga beliau mengutus surat kepada pemimpin blok itu bagi mendapatkan penjelasan mengenai layanan yang diterima Malaysia.
Beliau berkata, Presiden Perancis, Emmanuel Macron memaklumkan kepadanya bahawa tindakan Norway bukan mewakili pendirian EU. Penjelasan sama turut disuarakan oleh Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, serta pemimpin Jerman.
“Justeru, saya berpendapat tidak adil untuk kita membuat tanggapan umum, namun adakah tindakan itu wajar? Tiada sebarang alasan diberikan.
“Saya juga berbincang dengan Perdana Menteri (Norway), menyatakan ia berkaitan pertimbangan keselamatan (yang dibangkitkan negara itu). Apa kaitan isu keselamatan dalam hal ini? Adakah anda fikir kami menjual peluru berpandu ini kepada Al-Qaeda?” katanya.
Menurut beliau, Amerika Syarikat (AS) turut memberi jaminan bahawa negara itu tidak pernah mempengaruhi atau memberi tekanan kepada Norway untuk membatalkan kontrak pembekalan peluru berpandu berkenaan kepada Malaysia.



