
SIBU – Calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS), Kevin Lau Kor Jie meletakkan keyakinan terhadap rekod khidmat serta usaha pembangunan yang digerakkan di peringkat akar umbi selama ini bagi meraih kepercayaan pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.53 Bawang Assan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Ketua Pemuda Pusat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berusia 41 tahun itu berkata, keutamaannya adalah untuk terus berkhidmat kepada masyarakat setempat dan bekerja keras sekiranya diberikan mandat pada pilihan raya kali ini.
“Masih banyak yang perlu kita lakukan untuk Bawang Assan. Saya berharap rakyat dapat menilai usaha yang telah dilaksanakan dan memberikan peluang kepada saya untuk meneruskan agenda pembangunan di kawasan ini,” ujarnya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon pada Sabtu.
Menyentuh perjalanan kempen, Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan itu menegaskan komitmen untuk bertanding secara profesional serta menghormati pencabar tunggalnya daripada DAP, Alice Lau Kiong Yieng.
Jelas beliau, perbezaan idealisme politik tidak seharusnya menjejaskan perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum, agama serta budaya di Sarawak.
Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Bawang Assan, Tsong Chow Choon mengesahkan pertembungan satu lawan satu antara Kevin dengan Alice yang juga Ahli Parlimen Lanang merangkap Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat selepas tempoh penyerahan kertas penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi tadi.
Kerusi DUN Bawang Assan yang mempunyai seramai 22,832 pengundi berdaftar bakal menyaksikan pemilihan wakil rakyat baharu pada penggal ini susulan keputusan penyandangnya selama tujuh penggal sejak 1991, Datuk Seri Wong Soon Koh untuk tidak mempertahankan kerusi berkenaan menjelang hari pengundian pada 12 Disember ini.



