
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Sabah Electricity mempercepatkan kerja pemulihan bekalan elektrik yang terjejas di lapan daerah di Pantai Timur Sabah susulan kejadian runtuhan sebuah menara penghantaran elektrik di Ranau.
Beliau berkata, gangguan berkenaan bukan sahaja menjejaskan urusan harian penduduk, malah menimbulkan kesulitan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang membuat persiapan menghadapi peperiksaan.
Anwar turut meminta supaya bekalan elektrik sementara disediakan dengan memberi keutamaan kepada sekolah, pusat peperiksaan dan kemudahan awam kritikal.

“Dukacita dengan gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan sehingga lapan daerah di Pantai Timur Sabah susulan runtuhnya sebuah menara penghantaran elektrik di Ranau.
“Gangguan ini menimbulkan kesulitan dalam urusan harian penduduk, terutama bagi anak-anak yang sedang membuat persiapan untuk menduduki SPM,” katanya menerusi Facebook pada Sabtu.
Menurut beliau, bencana mungkin sukar dielakkan, namun kepantasan tindakan pihak bertanggungjawab amat penting bagi mengurangkan tempoh kesusahan yang terpaksa ditanggung rakyat.
“Bencana mungkin sukar dielakkan, tetapi kepantasan kita bertindak menentukan berapa lama rakyat terpaksa menanggung kesannya.
“Setiap jam sangat bermakna buat mereka,” katanya.
Beliau menegaskan, usaha memulihkan bekalan elektrik perlu diberikan keutamaan bagi memastikan kehidupan penduduk dan persiapan calon SPM tidak terus terjejas akibat gangguan berkenaan.



