
KOTA KINABALU – Kejayaan kembar seiras dari Kota Belud, Dr. Kamariah Liashin dan Dr. Karmila Liashin yang lebih dikenali sebagai ‘Dr. Twin’, menggenggam Doktor Falsafah (PhD) secara serentak bukan sekadar pencapaian akademik, malah menjadi kenyataan kepada impian Allahyarham bapa mereka untuk melihat kedua-duanya bergelar doktor.
Kedua-duanya berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh dua tahun empat bulan, iaitu lapan bulan lebih awal daripada tempoh tiga tahun enam bulan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Bagaimanapun, perjalanan pengajian itu mencabar mereka, apabila kehilangan bapa tercinta akibat kanser otak pada April 2025, ketika berada di semester kelima pengajian.
Dr. Kamariah berkata, pemergian bapa menjadi antara cabaran paling besar kerana impian melihat kedua-dua anak kembarnya bergelar doktor merupakan antara harapan Allahyarham.
“Ini adalah harapan dan juga antara cita-cita serta impian ayah untuk melihat anak kembarnya bergelar doktor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kali Ke-28 (Sidang Pertama), di Dewan Canselor, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Dr. Kamariah berkata, kejayaan itu turut didorong sokongan keluarga, khususnya ibu, suami, anak-anak, adik-beradik serta sahabat yang sentiasa memberikan semangat sepanjang pengajian.
Mengulas bidang penyelidikan, beliau berkata, kedua-duanya memberi tumpuan kepada prestasi kerja guru dalam bidang pengurusan pendidikan, selaras dengan hasrat untuk menyumbang semula kepada masyarakat dan meningkatkan kualiti pendidikan, khususnya di Sabah.
“Kami berdua memfokuskan kepada prestasi kerja guru kerana sebagai pendidik, sudah tentu apabila kami keluar nanti, kami mahu kembali semula kepada masyarakat untuk memberikan nilai tambah ilmu baharu dalam kemenjadian pendidikan, khususnya di negeri Sabah,” katanya.
Ketika ini, Dr. Kamariah bertugas sebagai pensyarah di Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Sabah, manakala Dr. Karmila berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud.
Menurutnya, kejayaan itu turut menjadi dorongan untuk mereka meningkatkan kompetensi, mempelbagaikan ilmu dan menyumbang kepada sistem pendidikan negeri Sabah.
“Apa yang pihak KPM berikan kepada kami melalui HLP itu, kita pulangkan semula kepada pihak kementerian, iaitu untuk meningkatkan kompetensi dan menyumbang kepada sistem pendidikan negeri Sabah,” katanya.
Sementara itu, Dr. Karmila berharap pencapaian mereka dapat menjadi inspirasi kepada wanita untuk terus mengejar pendidikan dan impian tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga.
“Menjadi seorang ibu itu adalah anugerah. Menjadi seorang isteri merupakan amanah dan tanggungjawab tetapi menjadi wanita, isteri yang berpendidikan adalah merupakan titik tertinggi bagi seorang wanita.
“Jangan beri wanita pilihan antara keluarga dan juga kerjaya, tetapi bantu mereka untuk membina satu keluarga yang akan sentiasa menghidupkan impian mereka.
“Jangan patahkan sayap mereka untuk terbang tinggi,” tegasnya.
Beliau berkata, pendidikan bukan sahaja mampu mengubah kehidupan, malah menjadi pemangkin untuk seseorang merealisasikan impian yang pernah dianggap mustahil.
“Pendidikan ini sebenarnya memang mengubah kehidupan. Tetapi bukan sahaja mengubah kehidupan, malah akan sentiasa menghidupkan impian yang satu masa dahulu kita anggap sebagai mustahil,” ujarnya.



