
SIBU – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.51 Bukit Assek menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), DAP, Parti Bumi Kenyalang (PBK) serta Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Bukit Assek, Henry Jalin Watt mengumumkan senarai rasmi calon yang layak bertanding pada pukul 10.17 pagi di Dewan Persidangan Perpustakaan Awam Majlis Perbandaran Sibu (MPS) selepas tempoh penyerahan kertas penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi tadi tanpa sebarang penolakan borang pencalonan.
Penyandang satu penggal kerusi berkenaan daripada komponen Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Chieng Jin Ek, 51, dipertaruhkan semula oleh GPS bagi memburu mandat penggal kedua, manakala DAP diwakili Chiew Sung Ngie, 48, yang juga Setiausaha Sulit kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau Kiong Yieng.
Turut mengesahkan penyertaan bagi merebut kerusi kawasan bandar berkenaan ialah calon PBK, Yii Ming Ching, 52, serta calon Bebas, Thomas Kiew Heng Yew, 64.
Kedudukan itu menjadikan DUN Bukit Assek antara sembilan kawasan di seluruh negeri yang berdepan saingan empat penjuru pada pilihan raya kali ini, dengan seramai 35,464 pemilih berdaftar layak menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian 12 Disember ini.
Pada PRN Sarawak ke-12 lalu, Chieng memenangi kerusi DUN Bukit Assek dengan majoriti 874 undi selepas meraih 4,684 undi dalam saingan enam penjuru menentang penyandang terdahulu mewakili DAP, Irene Mary Chang Oi Ling yang memperoleh 3,810 undi serta empat calon lain.



