
SEREMBAN – Kerajaan Persekutuan bersedia menyalurkan peruntukan mencukupi bagi memastikan pembayaran gaji penjawat awam Negeri Sembilan tidak terjejas sekiranya kemelut pentadbiran negeri itu berlarutan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan pusat akan memastikan pembayaran gaji diteruskan sehingga Januari tahun depan sekiranya masalah berkaitan perjalanan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pembentangan Belanjawan Negeri 2027 masih belum diselesaikan.
“Saya sudah mengambil keputusan untuk tahun depan. Sekiranya ada masalah perjalanan DUN, saya akan pastikan Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan dana yang cukup untuk membayar gaji penjawat awam negeri.
“Kalau selesai, tidak mengapa. Tetapi kalau tidak selesai, saya beri jaminan gaji Januari (akan dibayar),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Program Yakin MADANI di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sembilan (Kombes), Paroi, di sini, hari ini.
Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Dr Awaludin Said; Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar berkata, langkah menyalurkan bantuan kewangan bagi pembayaran gaji dan urusan pentadbiran negeri bukan perkara baharu kerana Kerajaan Persekutuan turut menyediakan bantuan seumpama itu kepada Kelantan, Terengganu dan Perlis.
Sehubungan itu, beliau meminta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim bagi menyelaraskan urusan berkenaan.
Katanya, penyelarasan itu penting supaya kebimbangan penjawat awam mengenai pembayaran gaji tidak berlarutan.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan ketidaktentuan politik negeri tidak seharusnya menjejaskan pelaksanaan projek pembangunan yang telah dirancang, termasuk Rancangan Tebatan Banjir (RTB).
Beliau berkata, rakyat tidak sepatutnya menjadi mangsa keadaan sehingga projek yang memberi manfaat kepada mereka terpaksa ditangguhkan atas kepentingan politik.
“Saya juga mahu projek naik taraf jalan Seremban-Kuala Pilah bernilai RM180 juta yang sedang dilaksanakan segera disiapkan,” katanya.
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kemelut pentadbiran negeri sebelum ini turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelabur, khususnya berhubung permohonan tanah dan kelulusan yang memerlukan tindakan Menteri Besar serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).
Bagaimanapun, beliau yakin urusan pelaburan dapat dipercepatkan susulan pentadbiran negeri yang kini kembali tersusun.
“Banyak permohonan pelabur yang tertangguh sebelum ini dan sekarang ia mesti disegerakan (diuruskan),” katanya.
Beliau turut mahu kerajaan negeri memberi tumpuan kepada usaha merapatkan jurang pendapatan antara penduduk bandar dan luar bandar bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh.



