
SANDAKAN – Program pemulihan dan khidmat komuniti bagi prospek (banduan) perlu diteruskan secara berterusan bagi membantu golongan itu membina kehidupan baharu serta mengelakkan mereka daripada terus terpinggir dalam masyarakat.
Ahli Parlimen Sandakan, Datuk Suhaimi Nasir berkata, usaha berkenaan tidak seharusnya terhenti pada program outreach semata-mata, sebaliknya perlu disusuli dengan sokongan melibatkan peluang pekerjaan, pendidikan dan keusahawanan.
Beliau berkata berdasarkan maklumat diterima, sekurang-kurangnya 10 individu memasuki penjara setiap hari, khususnya bagi kesalahan jenayah kecil, sekali gus menunjukkan keperluan kepada pendekatan pemulihan yang lebih menyeluruh.
“Apabila mereka keluar, ada yang tidak tahu hendak ke mana dan akhirnya menganggap diri mereka sebagai penjenayah serta terpinggir daripada masyarakat.
“Jadi, kita mahu mereka diberikan peluang kedua dan mudah-mudahan kesinambungan daripada program ini dapat mengangkat martabat mereka ke arah kehidupan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Outreach dan Khidmat Komuniti Penjara Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di Aisyadelia Cottage, Batu 14, di sini pada Sabtu.
Suhaimi berkata beliau bersedia membantu prospek mendapatkan peluang pendidikan dan pekerjaan, termasuk menghubungkan mereka dengan agensi kerajaan bagi memperluas kerjasama dalam usaha pemulihan.
Katanya, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan ketua kampung juga perlu memainkan peranan mendampingi prospek bagi membantu mereka menghadapi cabaran kehidupan serta memastikan golongan itu tidak terus terasing daripada komuniti.
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk memohon peruntukan kerajaan bagi menyokong pelaksanaan program seumpama itu sekiranya diperlukan.
Dalam aspek keusahawanan, Suhaimi berkata akses kepada bantuan dan geran perlu dipermudah, terutama bagi prospek yang berdepan kekangan dokumentasi seperti ketiadaan akaun bank, pendaftaran syarikat dan dokumen berkaitan.
Beliau mencadangkan prospek diberi pertimbangan dalam program keusahawanan seperti Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE), selain bantuan melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp).
Katanya, sektor pekerjaan seperti restoran dan perladangan juga berpotensi menyediakan peluang kepada prospek untuk kembali bekerja, memandangkan terdapat keperluan tenaga kerja dalam sektor itu.
Suhaimi turut mencadangkan penempatan pekerjaan di luar daerah asal dipertimbangkan bagi membolehkan prospek menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu serta membina kehidupan tanpa dibayangi stigma masyarakat terhadap masa lalu mereka.
“Kalau boleh, mereka diberi peluang bertukar daerah untuk mendapatkan pengalaman.
“Apabila berada di luar daerah, mungkin lebih mudah untuk mereka menyesuaikan diri dan membentuk masa depan yang lebih baik,” ujarnya.
Beliau berkata akan terus bekerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia bagi memastikan program pemulihan dan peluang kepada prospek diperluas, bukan hanya di Sandakan, malah ke seluruh Sabah.
Beliau berkata berdasarkan maklumat diterima, lebih 5,000 rakyat Malaysia di Sabah berdepan situasi berkenaan, sekali gus memerlukan usaha bersepadu bagi memastikan objektif pemulihan dan reintegrasi sosial dapat dicapai.



