
SIBU – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.55 Nangka menyaksikan pertandingan empat penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 apabila penyandangnya daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Dr Annuar Rapaee dicabar tiga calon Bebas.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN N.55 Nangka, Christopher Ranggau Unting mengesahkan kelayakan kesemua empat calon berkenaan selepas tempoh penyerahan kertas penamaan calon di Pusat Penamaan Calon Dewan Kompleks Islam Sarawak Sibu ditutup pada pukul 10 pagi tadi.
Tiga calon Bebas yang tampil merebut kerusi berkenaan ialah Simon Tiong Ing Tung, 58, Kho Mung Ming, 48, serta Tieh Sing Ming, 52, sekali gus memberi cabaran kepada Annuar yang memburu mandat penggal keempat berturut-turut sejak mula memenangi kawasan itu pada 2011.
Kemunculan tiga pencabar tanpa parti di kerusi tersebut menjadikan DUN Nangka antara sembilan kawasan yang berdepan saingan empat penjuru, selain menyumbang sebahagian daripada keseluruhan 22 calon Bebas yang disahkan bertanding pada pilihan raya negeri kali ini.
Terdahulu, Annuar yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak tiba di pusat penamaan calon pada pukul 8.30 pagi dengan diiringi kira-kira 1,400 penyokong sebelum mengemukakan borang pencalonannya pada pukul 9.05 pagi yang dicadangkan oleh Datuk Seri Wan Hamid Edruce Tuanku Mohamad dan disokong Ibrahim Laili.
Penyertaan calon Bebas pula bermula apabila Simon menyerahkan kertas penamaan pada pukul 9.24 pagi bersama pencadang, Law Jing Sun dan penyokong, Law Jing Yang, disusuli Kho pada pukul 9.45 pagi yang dicadangkan oleh Bong Le Ching serta disokong Tie Sing Fu.
Tieh melengkapkan senarai penyerahan borang pada pukul 9.54 pagi dengan menampilkan Tu Sui Eng sebagai pencadang dan Tiong Sii Chiong selaku penyokong.
Seramai 36,312 pemilih berdaftar layak menunaikan tanggungjawab bagi memilih wakil rakyat DUN N.55 Nangka pada hari pengundian 12 Disember ini.
Pada PRN Sarawak ke-12 lalu, Annuar mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti 10,804 undi selepas meraih 12,059 undi dalam saingan tiga penjuru menentang calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Intanurazean Wan Sapuan Daud yang memperoleh 1,255 undi dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Olivia Lim Wen Sia (1,027 undi).



