Pelaburan JS-SEZ hampir RM77 bilion bukti keyakinan pelabur kekal tinggi

KUALA LUMPUR – Komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menjayakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) terus diterjemahkan menerusi pencapaian pelaburan diluluskan berjumlah RM76.98 bilion pada tahun lalu, sekali gus mengukuhkan kedudukan Johor sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi baharu negara.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pembangunan JS-SEZ berjalan mengikut perancangan meskipun Pelan Induk JS-SEZ masih dalam proses penyelarasan sebelum dilancarkan secara rasmi.

Menurut beliau, sebanyak 57 peratus daripada jumlah kumulatif pelaburan yang diluluskan setakat ini telah memasuki fasa pelaksanaan, mencerminkan perkembangan positif inisiatif berkenaan.

“Bagi suku pertama 2026, JS-SEZ mencatat RM5.49 bilion dari segi pelaburan diluluskan. Bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) telah menguruskan sebanyak 285 pertanyaan pelaburan dengan potensi pelaburan terkumpul dikenal pasti berjumlah RM74.12 bilion.

“Angka ini menunjukkan keyakinan pelabur terhadap JS-SEZ kekal kukuh manakala manfaat JS-SEZ sedang diterjemahkan kepada projek sebenar, bukan sekadar kekal sebagai ‘blueprint’ (pelan tindakan),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Negeri Johor dan pelbagai agensi pelaksana terus memperhebat usaha bagi memudah cara pelaburan termasuk dalam aspek pembangunan infrastruktur, tenaga kerja mahir, urusan kastam, imigresen serta kesalinghubungan rentas sempadan.

Katanya, proses penyelarasan Pelan Induk JS-SEZ dilaksanakan secara teliti bagi memastikan aspek kesiapsiagaan pelaksanaan, penyelarasan dasar dan kerjasama strategik antara Malaysia dengan Singapura dapat dimuktamadkan secara menyeluruh.

Menurut beliau, pelan induk berkenaan perlu berfungsi sebagai panduan pelaksanaan yang jelas kepada pelabur, agensi berkaitan serta pihak berkepentingan lain memandangkan JS-SEZ merupakan inisiatif rentas sempadan yang berskala besar.

“Kerajaan Persekutuan tidak pernah berkompromi dalam soal masa depan Johor. Fokus ketika ini adalah memastikan Pelan Induk JS-SEZ dilancarkan pada masa yang tepat, dengan asas pelaksanaan yang kukuh dan mampu memberikan manfaat berkekalan kepada rakyat Johor, menarik lebih banyak pelaburan berkualiti serta mengangkat negeri ini sebagai hab ekonomi dan pelaburan utama serantau,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Kementerian Ekonomi memaklumkan usaha memperkukuh jaringan kerjasama dengan pelabur dan rakan strategik antarabangsa terus dipertingkatkan bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti ke JS-SEZ.

Antara usaha yang dilaksanakan termasuk penganjuran JS-SEZ Executive Forum semalam yang turut dihadiri Menteri Ekonomi, sekali gus memperlihatkan kesungguhan Malaysia memperluas kerjasama ekonomi dengan Itali dan negara-negara Eropah.

Kementerian itu turut mengadakan siri pertemuan bersama delegasi dari Perancis, Jerman, negara-negara Nordic, Taiwan, Kanada serta wakil diplomatik dari 35 negara yang berpangkalan di Singapura bagi membincangkan peluang kerjasama dan pelaburan.

Selain itu, rantaian bekalan industri terus diperkukuh menerusi penganjuran Micron-OCBC JS-SEZ Supplier Event 2026 yang menghimpunkan 30 pembekal dari Korea Selatan, Jepun dan Taiwan untuk meneroka peluang pelaburan serta kerjasama dengan syarikat tempatan di Johor.

“Persediaan operasi Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura juga membuktikan agenda pembangunan JS-SEZ bergerak mengikut perancangan dan akan terus dipacu secara konsisten,” menurut kementerian itu.

Related Posts

Reformasi Tabung Haji buahkan hasil, pelaburan cecah RM4.64 bilion

KUALA LUMPUR — Tabung Haji (TH) kekal kukuh dengan jumlah aset RM98.58 bilion berbanding liabiliti RM95.63 bilion, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan. Beliau…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Belanjawan 2027: MMA mahu penghijrahan doktor sektor awam ditangani

PUTRAJAYA – Terdapat keperluan untuk Kerajaan Persekutuan mengambil langkah konkrit dan holistik yang boleh dilaksanakan menerusi Belanjawan 2027 bagi menangani penghijrahan doktor daripada sistem kesihatan awam yang semakin membimbangkan. Presiden…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Terima kabel curian, pusat barang lusuh boleh didakwa – Menteri KPKT

Terima kabel curian, pusat barang lusuh boleh didakwa – Menteri KPKT

Reformasi Tabung Haji buahkan hasil, pelaburan cecah RM4.64 bilion

Reformasi Tabung Haji buahkan hasil, pelaburan cecah RM4.64 bilion

Chean Chung letak jawatan, kerusi Petaling Jaya kosong

Chean Chung letak jawatan, kerusi Petaling Jaya kosong

Malaysia menua terlalu pantas,  kerajaan mula bertindak

Malaysia menua terlalu pantas,  kerajaan mula bertindak

Belanjawan 2027: MMA mahu penghijrahan doktor sektor awam ditangani

Belanjawan 2027: MMA mahu penghijrahan doktor sektor awam ditangani

Sembilan tahun menanti, F1 kembali meriahkan Sepang – PM

Sembilan tahun menanti, F1 kembali meriahkan Sepang – PM