JOHOR BAHRU – Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menghadiri ceramah perdana dan rapat umum parti itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada Ahad.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata, program berkenaan akan berlangsung sejurus selesai Konvensyen PH yang dijadualkan berlangsung di Persada Johor International Convention Centre.
Menurut beliau, kehadiran Anwar dijangka menjadi tumpuan utama dalam ceramah berkenaan yang bakal menghimpunkan penyokong serta pimpinan parti komponen PH dari seluruh negeri.
“Selepas acara utama selesai, Konvensyen Pakatan Harapan akan mengadakan satu rapat umum dan ceramah perdana di DUN Puteri Wangsa.
“Anwar Ibrahim dijangka turut bersama untuk menyampaikan ucapan dalam program tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas meninjau persiapan akhir Konvensyen PH di pusat konvensyen berkenaan pada Sabtu.
Dalam pada itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menjangkakan sambutan orang ramai terhadap program tersebut akan berlangsung dalam jumlah yang besar memandangkan kehadiran pimpinan utama PH termasuk Perdana Menteri.
Kerusi DUN Puteri Wangsa ketika ini disandang Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abdul Aziz yang memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022.
Dalam saingan enam penjuru pada PRN lalu, Amira Aisya berjaya memperoleh sebanyak 22,884 undi sekali gus menewaskan calon-calon lain untuk membawa kemenangan kepada MUDA di kerusi tersebut.




