
PENGKALAN BATU – Peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan adalah manifestasi pendirian DAP mempertahankan prinsip antirasuah, meskipun parti itu menghormati budi bicara Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP sebagai langkah menunjukkan pendirian parti terhadap isu berkenaan tanpa menjejaskan kestabilan kerajaan.
Beliau berkata, DAP perlu mengimbangi tanggungjawab memastikan kerajaan terus berfungsi dengan keperluan mempertahankan prinsip perjuangan parti, khususnya dalam usaha memerangi rasuah.
“Kadang-kala kita kena ambil satu langkah ke belakang sedikit untuk kita ke hadapan. Keputusan yang kita buat dalam CEC ini, pertama sekali bagi memastikan kerajaan terus dapat berfungsi dan kekal.
“Pada masa sama, sebagai parti politik, DAP perlu menunjukkan mesej jelas bahawa walaupun kita menghormati budi bicara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dalam hal pengampunan dan tidak mempertikaikannya, kita tidak boleh menerima keputusan seperti ini tanpa menunjukkan pendirian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Kopilih Harapan di Pengkalan Baru, di sini malam tadi.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.
Beliau berkata, pendirian itu dizahirkan melalui peletakan jawatan Anthony yang disifatkan sebagai langkah terbaik bagi menunjukkan prinsip yang dipegang DAP sebagai sebuah parti yang menentang rasuah.
Katanya, keputusan itu bukan bermakna DAP mahu kerajaan kehilangan sokongan atau tumbang, sebaliknya parti perlu memastikan pentadbiran negara terus berjalan sambil mengekalkan pendirian terhadap prinsip perjuangannya.
“Walaupun saya sendiri merasakan perkara ini bukan satu kerugian kepada parti atau negara, saya percaya ini keputusan terbaik yang parti boleh buat untuk menunjukkan bahawa kita mempunyai prinsip yang kita angkat sebagai sebuah parti yang melawan rasuah,” katanya.
Terdahulu, Anthony mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta pada 10 November 2026, susulan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung permohonan tahanan rumah bekas Perdana Menteri itu.
Keputusan itu selaras dengan pendirian DAP yang sebelum ini menetapkan bahawa peletakan jawatan Anthony akan berkuat kuasa apabila Najib dibenarkan pulang ke rumah untuk menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.



