CHENG – Kos operasi tinggi dan harga jualan sayur-sayuran dikuasai oleh ‘orang tengah’ menyebabkan ramai pekebun kecil mula meninggalkan tanaman kontan sehingga terpaksa berkecimpung dalam bidang baharu demi mencari sumber pendapatan lain.
Itulah pengalaman dilalui Mohd Zamri Zakaria, 45, yang sebelum ini membanting tulang mengusahakan tanaman kacang panjang dan bendi enam tahun lalu namun sudah menarik diri berikutan bidang itu tidak menghasilkan keuntungan pada dirinya.
Beliau berkata, petani bukan sahaja mengalami kos peningkatan harga baja, racun dan diesel selain upah pekerja, golongan itu turut rugi susulan harga sayuran-sayuran ditentukan oleh pihak tengah sehingga menyukarkan petani kecil mendapatkan pulangan yang setimpal.
“Sudah hampir enam tahun saya tanam sayur, tetapi tidak boleh pergi jauh kerana modal habis. Kos baja, racun, diesel dan pekerja semuanya kita tanggung, sedangkan harga pula orang tengah yang tentukan.
“Sebab itu saya pilih tanam tebu. Saya tanam sendiri, proses sendiri dan jual sendiri tanpa melalui orang tengah. Itu cara saya cuba bangkit semula buat masa ini,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.
Lebih membebankan, katanya, pekebun kecil dalam kelompok B40 turut berdepan kesukaran mendapatkan bantuan pertanian yang benar-benar bersesuaian dengan keperluan tanaman masing-masing.
Mohd Zamri tidak menafikan terdapat bantuan daripada agensi berkaitan namun tidak konsisten, malah pernah menerima barangan berbeza daripada yang dikemukan dalam permohonan.

“Ada yang kita order lain dapat barang lain. Sebagai contoh. Kadang-kadang baja 17-17, baja buah saya dapat. Saya tanam tebu, saya nak 16-16, 15-15. 17-17 baja buah.
“Itu untuk pokok buah. Habis, saya pun hentam sajalah, baja buah baja buahlah. Itu yang ada dah banyak sangat dia bagi kan, kita pula nak buat apa,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Zamri berkata, sektor pertanian perlu diberi perhatian serius kerana pengeluaran makanan tempatan bukan sahaja penting untuk menjamin keterjaminan makanan negara, malah mampu mengurangkan kebergantungan kepada bekalan import.
“Kerajaan kena bantulah. Buat satu satu apa macam sistem program untuk minat anak muda kita ini untuk bertani kerana makanan memang nombor satulah. Mana-mana negara pun makanan ni nombor satu.
“Kalau negara itu banyak makanan, memang akan kaya. Tak perlu import luar negara punya makanan, kita sendiri keluaran kita sendiri,” katanya.
