
KOTA KINABALU – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) belum mengadakan perbincangan dengan Pakatan Harapan (PH) berhubung cadangan kerjasama politik, namun sebarang pandangan daripada parti berkaitan akan dibincangkan bagi mencapai persetujuan bersama.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri ketika ini terdiri daripada Barisan Nasional (BN), PH dan rakan-rakan lain yang bekerjasama dalam pentadbiran negeri.
Katanya, jajaran politik sedia ada akan diteruskan bagi memastikan kestabilan kerajaan, sekali gus membolehkan perancangan pembangunan dilaksanakan dengan lebih teratur.
“Kita belum lagi berbincang. Tetapi, kita maklum bahawa kerajaan negeri pada hari ini adalah kerajaan yang terdiri daripada Barisan Nasional dan juga PH dan rakan-rakan yang lain.
“Dan ini kita teruskan. Kita mahu kestabilan. Kalau kita ada kestabilan, kita boleh merancang pembangunan dengan lebih teratur dan lebih baik untuk rakyat kita pada masa akan datang,” katanya semasa sidang media selepas menghadiri Majlis Apresiasi dan Makan Malam Ketua Menteri bersama Pemimpin Pembangunan Masyarakat Negeri Sabah (PPM), di sini, pada Ahad.
Menurutnya, GRS mengambil maklum pandangan dan kenyataan yang dikemukakan oleh BN serta PH berhubung hala tuju politik kerajaan negeri.
Katanya, perkara itu akan dibawa ke perbincangan bagi mendapatkan persetujuan bersama.
“Jadi, ada pandangan, kenyataan daripada pihak Barisan Nasional. Ada pandangan, kenyataan daripada PH. Nanti kita akan bawa berbincang untuk mencari persetujuan bersama,” jelasnya.
Bagaimanapun, Hajiji menjelaskan kerajaan negeri yang dipimpinnya ketika ini diterajui GRS.
“Tapi, bagi saya, kerajaan yang kita pimpin ini ialah kerajaan yang diketuai oleh GRS,” ujarnya.



