
EMPAT anak seni Malaysia mengharumkan nama negara di pentas perfileman antarabangsa apabila meraih anugerah berprestij pada 63rd Golden Horse Awards di Taiwan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah berkenaan yang membuktikan bakat dan kreativiti anak tempatan mampu menghasilkan karya berkualiti serta mendapat pengiktirafan dunia.
“Tahniah kepada empat anak seni Malaysia atas kejayaan meraih anugerah berprestij pada 63rd Golden Horse Awards di Taiwan, sekali gus mengharumkan nama negara di pentas perfileman antarabangsa,” katanya menerusi Facebook pada Isnin.
Antara penerima ialah Nandagopall Mohan yang memenangi kategori Best New Performer menerusi filem Sayang Sayang, sekali gus mencipta sejarah sebagai pelakon Malaysia pertama meraih anugerah itu sepanjang penganjurannya.
Kartik Vijay pula meraih anugerah Best Cinematography menerusi filem Dead Tide, manakala Ryota Katayama memenangi Best Original Film Song menerusi lagu Gone With the Tide daripada filem sama bersama David Ke dan Hung Pei-yu.
Tsai Ming-liang turut meraih anugerah Best Documentary Short Film menerusi karya Night Journey.
Anwar berkata, kejayaan itu turut membuktikan potensi kerjasama produksi rentas negara dalam menghasilkan karya yang mampu menembusi pasaran antarabangsa.
“Sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menerusi Film in Malaysia Incentive (FIMI) kepada kedua-dua filem ini turut mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus memperkasa industri perfileman negara.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada seluruh pasukan produksi Sayang Sayang dan Dead Tide, termasuk pengarah, penerbit, pelakon serta rakan kerjasama yang menjayakan kedua-dua filem berkenaan.
Beliau berharap pencapaian itu menjadi inspirasi kepada lebih ramai penggiat seni tempatan untuk terus berkarya, menghasilkan karya bermutu dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.


