PUTRAJAYA – Pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) perlu dimanfaatkan sebagai landasan memperkasa kualiti pendidikan negara, khususnya dalam memastikan setiap murid menguasai kemahiran asas yang diperlukan bagi menghadapi cabaran masa depan.
Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berpendapat, keperluan untuk kerajaan menerbitkan data kemajuan pembelajaran yang boleh diaudit bagi menunjukkan sama ada langkah pemulihan benar-benar meningkatkan penguasaan murid.
Menurutnya, dapatan pentaksiran antarabangsa seperti Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) boleh dijadikan panduan kepada kerajaan untuk mengenal pasti ruang penambahbaikan, terutama dalam aspek Matematik, Bacaan dan Sains.
“Persoalan lebih penting sekarang bukan lagi berapa lama rakyat berada di sekolah, tetapi apa sebenarnya yang mereka kuasai selepas bertahun-tahun belajar. Mesti dibuktikan ialah sama ada murid benar-benar semakin boleh membaca, memahami, mengira dan menaakul.
“Data PISA 2025 menunjukkan hanya 35 peratus murid Malaysia mencapai sekurang-kurangnya Tahap 2 Matematik, 44 peratus bagi bacaan dan 54 peratus Sains. Skor matematik pula turun 11 mata kepada 397 berbanding 2022, manakala perubahan bacaan dan sains tidak signifikan secara statistik.
“Ini bukan lagi masalah sebilangan kecil murid tercicir. Ini masalah penguasaan asas yang melibatkan sebahagian besar murid berusia 15 tahun. Kita tidak boleh menganggap perubahan kecil yang tidak signifikan sebagai bukti pemulihan,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Isnin.
Mengulas lanjut, Anuar berkata, langkah kerajaan menjadikan pendidikan prasekolah wajib bagi kanak-kanak berusia lima tahun seperti digariskan dalam RMK13 merupakan perkembangan positif yang perlu disokong dengan peningkatan kualiti pengajaran, kemudahan dan akses kepada pendidikan awal.
Dalam masa sama, beliau berpandangan, usaha meningkatkan profesionalisme guru juga perlu diteruskan menerusi latihan berterusan, pengurangan tugas pentadbiran serta pemberian ruang lebih luas kepada sekolah untuk melaksanakan pendekatan bersesuaian dengan keperluan murid setempat.

“Laporan OECD Economic Surveys: Malaysia 2026 memaklumkan guru Malaysia menghabiskan masa agak besar untuk kerja pentadbiran, sekolah terlalu berpusat sehingga ruang membuat keputusan mengikut keperluan setempat menjadi sempit.
“OECD mengesyorkan pengurangan beban pentadbiran, kerangka profesional guru yang jelas, serta autonomi sekolah yang disertai akauntabiliti Guru perlu diberikan ruang untuk memberi tumpuan kepada tugas utama mereka.
“Mereka perlu mengajar dan membimbing murid. Pada masa sama, sekolah juga perlu mempunyai autonomi yang bersesuaian, dengan akauntabiliti yang jelas terhadap pencapaian pembelajaran,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) UKM berpandangan, peruntukan pendidikan perlu disalurkan kepada sekolah yang paling memerlukan dan program yang terbukti membantu murid.
“Dalam pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), kerajaan perlu menilai berapa ramai graduan mendapat pekerjaan yang sepadan dengan latihan serta berapa gaji yang diterima.
“Lihat kepada kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran dalam kalangan graduan pendidikan tertiari, yang direkodkan pada 35.6 peratus pada 2025,” katanya.
Dalam pada itu, bagi memantau sasaran pendidikan RMK13 hingga 2030, Anuar mencadangkan kerajaan menerbitkan papan pemuka yang memaparkan tahap literasi dan numerasi murid mengikut kohort, kemajuan sekolah berprestasi rendah, jurang sosioekonomi serta masa sebenar guru mengajar.
“Setiap petunjuk perlu disertakan ukuran permulaan, tarikh sasaran dan pihak bertanggungjawab. Jika sasaran tidak dicapai, kerajaan perlu menjelaskan tindakan pembetulan akan diambil. Malaysia tidak kekurangan cita-cita pendidikan, tetapi masih bergelut terjemahnya kepada hasil.
“Negara boleh menghampiri status berpendapatan tinggi, tetapi kemajuan ekonomi tidak akan stabil dan kukuh jika terlalu ramai murid meninggalkan sekolah tanpa penguasaan asas dan terlalu ramai graduan tidak menggunakan kemahiran mereka secara produktif.
“Reformasi pendidikan bukan pertandingan menghasilkan pelan siapa paling tebal atau slogan siapa paling menarik. Ukuran akhirnya adakah anak-anak kita benar-benar belajar dengan lebih baik, dan adakah pendidikan memberi mereka kehidupan yang lebih baik,” katanya.


