
KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan terus memberi tumpuan kepada tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya sehingga tamat penggal sebagai Ahli Dewan Negara pada 11 Disember ini.
Beliau berkata, keutamaannya ketika ini adalah menyelesaikan segala tugas yang diberikan sebelum memikirkan perkembangan seterusnya selepas tempoh pelantikannya berakhir.
“Ini bukan rahsia. Saya akan habiskan penggal saya pada 11 Disember. Tapi buat masa sekarang, pendekatan saya, saya fokus sebab mandat yang diberikan kepada saya.
“Saya bagi habis. Apa jadi lepas itu kita tengok dulu. Fokus saya buat kerja dulu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Program Pemerkasaan Ekonomi Maybank Islamic Barakah, di sini, hari ini.
Mengulas kemungkinan pelantikannya disambung bagi penggal kedua sebagai Senator, Amir Hamzah menegaskan beliau mahu mengutamakan tanggungjawab semasa sebelum membuat sebarang pertimbangan mengenai perkara itu.
“Saya rasa kita buat macam itu sajalah. Bagi habis kerja dulu. Itu yang penting,” katanya.
Untuk rekod, tempoh pelantikan Amir Hamzah sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal pertama dijadualkan berakhir pada 11 Disember 2026.
Beliau perlu dilantik semula sebagai Senator dan mengangkat sumpah bagi membolehkannya terus menjalankan tugas dalam Kabinet selepas tamat penggal berkenaan.


