Donald Trump
ISTANBUL – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa Iran semakin agresif susulan pilihan raya pertengahan penggal pada 3 November lalu, selain mengulangi ramalannya kemenangan Parti Demokrat akan mencetuskan kejatuhan ketara bagi pasaran saham.
Menerusi hantaran di platform media sosialnya, Truth Social semalam, Trump berkata, beliau membuat dua ramalan menjelang pilihan raya berkenaan sambil mendakwa kedua-dua perkara itu kini menjadi kenyataan.
Trump turut mendakwa Iran melancarkan lebih banyak dron dan peluru berpandu sepanjang minggu lalu berbanding tempoh lain dalam jangka masa lebih setahun.
Trump bagaimanapun menambah, semua serangan berkenaan berjaya dipintas tanpa mengakibatkan sebarang kerosakan.
“Pemimpin Iran menganggap parti Demokrat lemah, tidak berfungsi dan memusnahkan negara, tetapi saya tidak akan membiarkan perkara itu berlaku!” katanya, memetik laporan Anadolu Ajansi,
Trump turut menuduh parti Demokrat dan Iran sengaja cuba mengekalkan harga minyak pada paras tinggi menjelang pilihan raya pertengahan penggal, sambil mendakwa harga berkenaan kini ‘menurun secara mendadak’.
“Malang sekali pengundi tidak memahami perkara ini sebelum membuat pilihan, namun keseluruhan proses pilihan raya itu sangat ‘pelik’.
“Pada akhirnya, Amerika akan menang!” katanya.



