
TUMPAT – Seorang lelaki yang baru enam bulan dibebaskan dari penjara kembali terlibat dalam kegiatan jenayah apabila dipercayai menjadi transporter pendatang asing tanpa izin (PATI) sebelum ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Neting, di sini, awal pagi kelmarin.
Suspek ditahan kira-kira jam 5 pagi selepas kereta Perodua Myvi dipandunya terbabas ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan anggota Task Force Batalion 7 PGA yang menjalankan Ops Taring Wawasan Kelantan di Jalan Pak Keral menghala ke Jalan Tali Air.
Komander Briged Tenggara PGA, Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek berusia 34 tahun bertindak memecut kenderaan sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa sebelum terbabas di bahu jalan berhampiran sebuah sekolah.
“Suspek turut cuba melarikan diri selepas diarahkan keluar dari kenderaan, namun berjaya ditahan anggota PGA.
“Pemeriksaan dalam kenderaan menemukan lapan warga Myanmar terdiri daripada tiga lelaki, empat wanita dan seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mengaku terbabit dalam kegiatan membawa pendatang asing secara sambilan sejak bulan ini dan penghantaran berkenaan merupakan kali pertama dilakukannya.
Suspek mendakwa diarahkan seorang lelaki tempatan yang tidak dikenalinya untuk mengambil dan menghantar migran terbabit dengan bayaran RM450 bagi setiap perjalanan selepas urusan penghantaran selesai.
Ahmad Radzi berkata, kesemua warga Myanmar berusia antara sembilan bulan hingga 31 tahun itu dipercayai memasuki negara ini melalui Pantai Geting, Tumpat, dengan bantuan ejen dari Myanmar yang mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM10,000.
Mereka dipercayai dijadualkan dihantar ke Stesen Bas Melor, Pasir Mas sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.
Gambar: Sinar Harian



