
MUAR – Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi melaksanakan dua projek naik taraf kemudahan pendidikan di Sekolah Kebangsaan Sultan Abu Bakar 1 (SKSAB1), Muar, menerusi inisiatif Sekolah Angkat MADANI Tahun 2026.
Peruntukan tersebut melibatkan kerja-kerja menaik taraf Pusat Sumber Sekolah (PSS) dan Dewan Bitara bagi memperkukuh kemudahan pembelajaran digital serta mewujudkan persekitaran pendidikan yang lebih moden, kondusif dan berdaya saing.
Ketua Pengarah JKOM, Mohd Hishamuddin Ghazali berkata, pelaksanaan Program Sekolah Angkat MADANI merupakan sebahagian daripada inisiatif strategik yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi memperkasa pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan komuniti melalui institusi pendidikan.
Beliau berkata, secara keseluruhannya, peruntukan yang disediakan oleh Perdana Menteri bagi pelaksanaan inisiatif Sekolah Angkat MADANI di seluruh negara adalah sebanyak RM1.9 bilion.
Menurutnya, program berkenaan bukan sekadar bertujuan mencantikkan bangunan sekolah atau menambah baik infrastruktur, sebaliknya turut memberi perhatian kepada kebajikan dan keperluan murid, khususnya mereka yang berhadapan kesukaran untuk mendapatkan akses pendidikan.
“Sebagai Sekolah Angkat MADANI, tanggungjawab kita bukan hanya menaik taraf sekolah dan menyediakan kemudahan infrastruktur, tetapi juga memastikan kebajikan pelajar sentiasa terbela.
“Jika terdapat murid yang tidak berkemampuan atau berhadapan masalah sehingga menyukarkan mereka untuk hadir ke sekolah, perkara ini perlu diberikan perhatian dan dibantu sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran dan Penyerahan Projek Sekolah Angkat MADANI JKOM Tahun 2026 di SK Sultan Abu Bakar (1), Muar, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, SK Sultan Abu Bakar (1) dipilih berdasarkan rekod kecemerlangan dan potensinya sebagai sebuah institusi pendidikan yang mempunyai sejarah panjang sejak 1939.
Sekolah berkenaan turut merupakan Sekolah Kluster Kecemerlangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta sekolah Transformasi Sekolah 2025 (TS25) Kohort 6.0.
Dengan jumlah enrolmen seramai 231 murid merangkumi aliran perdana, prasekolah dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), sekolah itu dilihat berpotensi menjadi model amalan terbaik kesejahteraan komuniti sekolah di daerah Muar.
Bagi projek pertama, sebanyak RM75,000 diperuntukkan untuk menaik taraf Pusat Sumber Sekolah kepada konsep Smart Room dan Bilik Tayang.
Kemudahan yang disediakan termasuk sebuah Smart Board berukuran 86 inci bernilai RM28,000, 20 unit Apple iPad 11 inci bernilai RM44,000 serta sebuah stesen pengecasan bernilai RM3,000.
Sementara itu, sebanyak RM25,000 lagi diperuntukkan bagi menaik taraf Dewan Bitara menerusi pembekalan dan pemasangan skrin digital LED dalaman bagi meningkatkan kualiti penyampaian maklumat serta pelaksanaan program rasmi sekolah.
Beliau turut menegaskan kepentingan penguasaan internet dan teknologi digital dalam kalangan murid memandangkan kemahiran berkenaan menjadi keperluan penting dalam menghadapi perkembangan teknologi masa kini.
Katanya, pendedahan kepada penggunaan internet secara positif dan terkawal dapat membantu anak-anak sekolah meningkatkan pengetahuan, membina kemahiran digital serta mempersiapkan diri menghadapi cabaran masa hadapan.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Hishamuddin turut menegaskan komitmennya untuk memperkukuh integriti dalam organisasi dengan mengisytiharkan perang terhadap amalan rasuah dalam JKOM.
Beliau menegaskan bahawa integriti, ketelusan dan amanah perlu menjadi asas kepada setiap penjawat awam dalam melaksanakan tanggungjawab, selain memastikan setiap peruntukan kerajaan dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat.
Dalam pada itu, beliau berkata, komitmen Kerajaan MADANI terhadap pembangunan pendidikan turut diperkukuh menerusi Belanjawan MADANI 2027 yang menyediakan peruntukan hampir RM69 bilion kepada Kementerian Pendidikan Malaysia.
Antara inisiatif yang diumumkan termasuk peningkatan Bantuan Awal Persekolahan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid, dengan peruntukan keseluruhan RM1 bilion yang memberi manfaat kepada kira-kira 5.3 juta murid di seluruh negara.
Kerajaan turut menyediakan RM870 juta bagi pelaksanaan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang dijangka memanfaatkan lebih 800,000 murid sekolah rendah.
Program Sekolah Angkat MADANI juga diteruskan dan diperluas sebagai sebahagian usaha merapatkan jurang pembangunan pendidikan serta memperkukuh kesejahteraan komuniti di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, kejayaan sebenar inisiatif berkenaan bukan hanya diukur melalui penyerahan aset dan kemudahan, tetapi bergantung kepada sejauh mana kemudahan tersebut dimanfaatkan secara optimum untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan melahirkan generasi berilmu, berdisiplin serta celik teknologi.
Majlis berkenaan turut dihadiri Yang Dipertua PIBG SK Sultan Abu Bakar (1), Muhamad Seh Kamis; Pegawai Pendidikan Daerah Muar, Rahman @ Ab Rahman Selamat; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Muar, Sektor Pengurusan Sekolah, Dr. Ais Md Sulbidin; Guru Besar SK Sultan Abu Bakar (1), Zarinah Mat Yasin; serta Pengarah JKOM Zon Selatan, Muhammad Asri Ibrahim.
Turut hadir ialah ketua-ketua jabatan dan agensi, guru-guru, Yang Dipertua PIBG sekolah-sekolah dalam Mukim Muar, naib yang dipertua dan ahli jawatankuasa PIBG, guru-guru kanan serta warga pendidik SK Sultan Abu Bakar (1), selain Ketua Kampung Sri Jong dan pemimpin komuniti setempat.
Majlis diakhiri dengan peluncuran serta penyerahan projek Sekolah Angkat MADANI JKOM Tahun 2026 yang diharapkan dapat memberikan manfaat berpanjangan kepada seluruh warga sekolah dan masyarakat setempat.
Inisiatif berkenaan mencerminkan pendekatan Kerajaan MADANI yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal, malah turut mengutamakan kebajikan, pendidikan berkualiti, pendigitalan dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.


