
KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah prihatin terhadap nasib penduduk yang terlibat dalam tindakan perobohan penempatan setinggan, namun proses berkenaan perlu dilaksanakan mengikut undang-undang dan peraturan ditetapkan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kawasan berkenaan merupakan kawasan setinggan yang terletak berhampiran kawasan peranginan dan pulau, selain tidak dibenarkan untuk mendirikan rumah.
Katanya, masyarakat yang tinggal di kawasan itu, sama ada dari sekitar Kota Kinabalu atau luar kawasan berkenaan, perlu memahami tindakan kerajaan yang sudah lama merancang untuk memindahkan atau merobohkan penempatan setinggan.
“Ini kawasan peranginan dekat pulau. Jadi, rakyat kita mesti tahu. Bukan kita kerajaan yang tidak prihatin.
“Kita prihatin kepada rakyat kita. Tetapi, kita kena ikut proses undang-undang, peraturan kerana ia adalah satu kawasan setinggan,” katanya semasa sidang media selepas menghadiri Majlis Apresiasi dan Makan Malam Ketua Menteri bersama Pemimpin Pembangunan Masyarakat Negeri Sabah (PPM), di sini, pada Ahad.
Tambahnya, kerajaan akan mencari jalan bagi mengatur dan memastikan kehidupan penduduk yang terjejas akibat tindakan berkenaan.
“Kerajaan prihatin. Jadi, kita cari jalanlah untuk mengatur ataupun memastikan bahawa kehidupan mereka juga tidak terjejas.
“Tetapi, kita mesti tahu bahawa kawasan itu adalah kawasan yang dilarang untuk kita mendirikan rumah,” kongsinya.
Hajiji berkata, perancangan itu sudah dilaksanakan sejak dahulu, namun setiap kali tindakan perobohan dilakukan, pelbagai alasan dan tuduhan timbul sehingga kerajaan digambarkan seolah-olah tidak prihatin terhadap rakyat.
“Ini dari dulu lagi. Tetapi, setiap kali kita merobohkan ada saja alasan. Ada saja macam-macam tuduhan.
“Seolah-olah kerajaan tidak prihatin. Jadi, rakyat kita kena faham juga semuanya,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap tindakan berkenaan perlu difahami dalam konteks pematuhan undang-undang dan peraturan, selain usaha kerajaan memastikan kebajikan penduduk yang terlibat terus diberi perhatian.



