
KUANTAN – Sebanyak 350 tukun tiruan pelbagai jenis seperti tetrapod, kiub dan kuboid berjaya dilabuhkan di perairan negeri ini sejak 2007 hingga tahun ini.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak berkata, selain sebagai tempat perlindungan dan pembiakan pelbagai spesies ikan, tukun tiruan juga berfungsi sebagai penghalang aktiviti pukat tunda.
Beliau berkata, tahun lalu, Jabatan Perikanan Negeri Pahang berjaya melabuhkan tukun tiruan di tiga kawasan iaitu di Pulau Seri Buat dan Pulau Sembilang di Rompin serta Pulau Berhala, Pekan dengan kos RM800,000.
“Kos pembinaan dan melabuh tukun berkenaan menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan dan Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT),” katanya, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Mohd Johari Hussain (BN-Tioman) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Mohd Soffi berkata, bagi tahun ini, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM700,000 untuk membina dan melabuhkan tukun tiruan jenis juvenil penghalang pukat tunda di Pulau Seri Buat sebagai tukun konservasi.
Katanya, peruntukan EFT RM300,000 pula diterima bagi pembinaan tukun tiruan rekreasi jenis kuboid juvenil penghalang pukat tunda yang dilabuhkan di perairan Pantai Kempadang, di sini, pada 19 Oktober lalu.
“Kos keseluruhan bagi membina dan melabuhkan 20 tukun tiruan jenis juvenil penghalang pukat tunda di Pulau Seri Buat sebanyak RM665,849.
“Kos untuk lapan tukun tiruan yang dilabuhkan di perairan Kempadang RM280,980,” katanya.
Beliau berkata, tukun tiruan konservasi jenis sama juga akan dilabuhkan di perairan Taman Laut Pulau Labas dan Pulau Sepoi, Rompin melalui peruntukan RM700,000 daripada Persekutuan.
Katanya, Jabatan Perikanan Negeri Pahang juga bercadang melabuhkan tukun tiruan di pesisir pantai perairan Pekan dan Rompin bagi manfaat nelayan Zon A dengan menggunakan peruntukan EFT yang disalurkan kepada kerajaan negeri.



