
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu lebih berhati-hati dalam membuat pengumuman membabitkan urusan antarabangsa bagi mengelakkan tindakan sedemikian memberi gambaran buruk terhadap imej Malaysia di mata dunia.
Pemerhati politik, Ahmad Mursi berkata, pengumuman cadangan menghantar 10,000 pelarian Rohingya ke Turkiye yang kemudian dinafikan negara itu menimbulkan persoalan mengenai ketelitian kerajaan dalam menguruskan hubungan diplomatik.
Katanya, pengumuman berkenaan seolah-olah memberi gambaran bahawa persetujuan sudah dicapai, sedangkan pihak Turkiye tampil menafikan dakwaan menerima kumpulan pelarian terbabit.
“Kalau benar Kabinet sudah bersetuju, adakah persetujuan itu sekadar untuk meneroka cadangan, atau memang sudah ada persetujuan rasmi dengan Turkiye?
“Ini bukan perkara kecil. Kita bercakap tentang hubungan diplomatik antara dua negara, bukannya urusan memindahkan orang dari satu daerah ke daerah lain,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Ahmad Mursi berkata, Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri sewajarnya memastikan setiap maklumat berkaitan persetujuan dengan negara asing disahkan terlebih dahulu sebelum diumumkan kepada umum.
Katanya, sekiranya perkara itu masih di peringkat cadangan atau rundingan, ia perlu dinyatakan dengan jelas supaya tidak menimbulkan tanggapan bahawa kerajaan sudah mencapai persetujuan rasmi.
“Kalau sekadar cadangan, sebutlah cadangan. Kalau masih berunding, beritahulah masih berunding. Jangan sampai rakyat diberi gambaran semuanya sudah selesai, sedangkan negara yang dikatakan bakal menerima pelarian pula menafikannya,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan tindakan memadamkan hantaran asal berkenaan, sedangkan pengumuman itu sebelum ini menyatakan Jemaah Menteri sudah bersetuju dengan cadangan berkenaan.
Menurutnya, isu itu bukan hanya berkaitan nasib 10,000 pelarian Rohingya, sebaliknya turut membabitkan kredibiliti kerajaan dan persepsi masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia.
Katanya, penjelasan menyeluruh perlu diberikan mengenai status sebenar cadangan itu serta sama ada wujud persetujuan rasmi antara kedua-dua negara.
“Lebih menarik, kenyataan asal Zahid kemudian dipadamkan. Kenapa perlu dipadam kalau semuanya sudah dipersetujui?
“Akhirnya, yang menjadi persoalan bukan lagi soal 10,000 Rohingya semata-mata, tetapi bagaimana seorang Timbalan Perdana Menteri boleh mengumumkan sesuatu yang kemudiannya dinafikan oleh negara yang terlibat,” katanya.
Terdahulu, Zahid dilaporkan mengumumkan cadangan penempatan semula 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia ke Turkiye selepas mereka menjalani latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Bagaimanapun, pihak berkuasa Turkiye menafikan dakwaan bahawa negara itu bersetuju menerima 10,000 pelarian berkenaan, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai status sebenar cadangan itu.
Susulan perkembangan berkenaan, Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri, Shuhaimi Mohamed dilaporkan menjelaskan Malaysia kekal komited meneruskan cadangan berkenaan, namun beberapa perkara masih memerlukan penjelasan dan penyelarasan dengan pihak berkaitan sebelum pelaksanaannya dapat diteruskan.

